Bagan Serai: Anak pesawah dari Kuala Kurau, di sini mahu meneruskan cita-cita menjadi pensyarah selepas memperoleh keputusan semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Selasa lalu.
Nurul Adilah Mohamad Supian, 18, yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Hidayah berkata, kejayaan memperoleh 9A itu langsung tidak dijangka kerana sebelum ini dia tidak pernah meraih keputusan semua A dalam mana-mana peperiksaan.
“Saya memang tak sangka dapat semua A. Sebelum ini tak pernah lagi dapat semua A, jadi bila tengok keputusan secara dalam talian di rumah, saya rasa sangat bersyukur dan gembira.
“Apabila saya beritahu keputusan itu, ibu sampai menangis, ayah pula sangat gembira.
“Saya ambil jurusan Sastera, sembilan subjek yang saya duduki ketika SPM adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Lughah Arabiah Muasirah, Perniagaan, Usuluddin dan Syariah,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia dibesarkan dalam keluarga sederhana apabila bapanya, Mohamad Supian Basri, 54, bekerja sebagai pesawah sepenuh masa manakala ibunya, Siti Rohani Muhammad Shafie, 47, adalah suri rumah.
Menurutnya, kekangan kewangan keluarga tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya, malah menjadi pendorong untuk mengubah nasib keluarga.
“Saya ulang alik ke sekolah setiap hari dan banyak belajar sendiri di rumah kerana saya bukan jenis yang mudah fokus dalam kelas.
“Saya juga bukan fast learner, jadi saya perlu ambil masa lebih lama untuk faham sesuatu topik.
“Kadang-kadang saya rasa lambat faham dan perlu belajar seorang diri. Bila hampir dengan peperiksaan baru apa yang belajar tu betul-betul saya fahami,” katanya.
Beliau turut berkongsi, kejayaan itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan disiplin tinggi termasuk belajar dalam tempoh lama secara fokus.
“Saya mungkin tak belajar setiap masa, tetapi bila saya belajar, saya akan fokus sepenuhnya. Pernah saya ulang kaji dari jam 5 petang sampai 5 pagi.
“Selain itu, saya jaga hubungan dengan Allah seperti solat sunat, baca Yasin setiap pagi dan berpuasa sunat sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya.
Nurul Adilah berkata, beliau bertuah kerana terpilih menjadi penerima manfaat Program Anak Angkat Cikgu Saarani sejak tingkatan empat yang banyak membantu meringankan beban kewangan keluarganya selain memberi sokongan motivasi.
“Saya terima elaun bulanan RM100 yang saya gunakan untuk beli buku rujukan dan keperluan sekolah.
“Selain itu, ada juga tuisyen, program motivasi, bantuan perayaan dan aktiviti bersama peserta lain yang sangat membantu.
“Selepas ini, saya berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bagi merealisasikan impian menjadi guru kaunseling atau pensyarah,” katanya.
Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Perak sejak 2010 yang memberi tumpuan kepada pelajar berpotensi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik serta pembangunan diri.
Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan selaku sebagai pelaksana AACS, memainkan peranan penting dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang cakna terhadap kesejahteraan sosial dan kebajikan rakyat.
Program AACS menyediakan pelbagai bantuan termasuk elaun pendidikan bulanan, bantuan persekolahan, program motivasi serta peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bertujuan meningkatkan sosioekonomi keluarga ke tahap lebih baik.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.