TANJUNG MALIM: Memiliki kediaman sendiri terus menjadi impian setiap individu dan pasangan, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup serta sewaan rumah yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Menyedari keperluan itu, inisiatif kerajaan negeri menerusi program Rumah Perakku dilihat sebagai pemangkin utama dalam membantu golongan sasar memiliki rumah pertama pada harga jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

Program berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada mereka yang layak untuk keluar daripada beban menyewa, malah menawarkan komitmen bayaran bulanan yang lebih rendah dan mampu milik, sekali gus memberi ruang kepada penerima untuk merancang kehidupan yang lebih stabil.

Penjawat awam, Mohd Fadhli Mohd Mustafirin, 33, menyifatkan peluang memiliki rumah sendiri melalui inisiatif itu sebagai rezeki dan hadiah paling bermakna buat keluarganya.

Katanya, sebelum ini beliau bersama isteri, Nusryfildza Hamdan, 31, dan anak mereka yang berusia dua tahun terpaksa menyewa rumah di sekitar pekan berkenaan dengan kos kira-kira RM600 sebulan.

“Melalui Rumah Perakku, saya hanya perlu membayar kurang RM500 sebulan untuk pinjaman bank. Perbezaannya mungkin kecil, tetapi nilai memiliki rumah sendiri itu jauh lebih besar.

“Jika menyewa, walau berapa lama kita bayar, rumah itu tetap bukan milik kita. Namun, dengan inisiatif ini, setiap bayaran membawa kita lebih dekat kepada pemilikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Kota Malim Prima @ Tanjung Malim, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Projek itu dimajukan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dengan kerjasama pemaju Berjaya Qiyam Sdn Bhd sebagai usaha berterusan kerajaan negeri memenuhi keperluan perumahan rakyat.

Dibina di atas tanah seluas kira-kira 36.44 ekar, projek berkenaan terletak di lokasi strategik dengan jarak hanya 6 kilometer (km) ke Proton City dan 6.8km ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menjadikannya kawasan berpotensi tinggi untuk didiami.

Projek itu dilaksanakan dalam dua fasa membabitkan keseluruhan 383 unit rumah.

Fasa pertama merangkumi 199 unit pelbagai kategori, manakala fasa kedua membabitkan pembinaan 184 unit rumah teres setingkat dan rumah terbuka.

Harga ditawar RM90,000 

Sementara itu, pekerja swasta, Husna Ahmad, 30, berkata selepas tujuh tahun menetap di rumah kakitangan bersama suami dan tiga anak, peluang memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan melalui program berkenaan.

“Inisiatif ini sangat membantu kerana kebanyakan projek perumahan sekarang mencecah ratusan ribu ringgit. Namun, Rumah Perakku ditawarkan pada harga sekitar RM90,000 sahaja.

“Dengan harga itu dan lokasi yang strategik berhampiran hab automotif negara, ia memang peluang yang tidak harus dilepaskan,” katanya.

Tambahnya, rumah yang dimiliki lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, sesuai untuk keperluan keluarga kecil seperti mereka.

Bagi golongan muda pula, inisiatif itu turut membuka ruang untuk memiliki aset pertama lebih awal.

Aiman Ashraf Khairul Anuar, 26, berkata program itu memberi keyakinan kepada belia sepertinya untuk merancang masa depan, termasuk sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Inisiatif ini membantu golongan muda seperti saya memiliki rumah sendiri lebih awal, sekali gus memberi kestabilan sebelum membina keluarga,” katanya.

Rumah Perakku dilihat sebagai antara pendekatan berkesan dalam memastikan agenda perumahan rakyat terus diperkasa, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, khususnya golongan B40.

Perumahan Sejahtera adalah andalan atau flagship di dalam pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani.

Sumber: Berita Harian