PARIT: Menjejakkan kaki ke Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, seolah-olah membawa pengunjung merentas masa ke era kegemilangan peradaban Melayu.

Terletak di sebuah pulau kecil di aliran Sungai Perak, lokasi unik itu menawarkan pengalaman mendalami warisan budaya dan cara hidup masyarakat Melayu tradisional yang semakin jarang disaksikan pada masa kini.

Dikelilingi panorama indah sungai dan kehijauan alam semula jadi, Pulau Misa selain menjadi tumpuan penduduk setempat untuk aktiviti komuniti turut menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin mengenali budaya Melayu.

Yang Dipertua Persatuan Budaya dan Kesenian Misa Melayu Perak, Osman Abd Rahman, berkata perkampungan itu dibangunkan sejak 1999 dengan matlamat memartabatkan warisan budaya Melayu serta menjadi pusat rujukan kepada generasi muda melalui pengalaman dan pendedahan secara langsung.

Katanya, kehidupan masyarakat Melayu tradisional diterjemahkan menerusi pelbagai persembahan kesenian, tarian dan sketsa yang menggambarkan kehidupan pembesar serta hulubalang Melayu pada zaman silam.

“Setiap hujung minggu, khususnya pada malam Sabtu, kami mengadakan program dikenali sebagai ‘Malam Pengkalan’ di Balairong yang menampilkan persembahan budaya, adat istiadat serta gambaran kehidupan masyarakat Melayu dahulu.

“Di Pulau Misa ini pengunjung dapat merasai suasana kehidupan orang Melayu lama, termasuk budaya istana, semangat gotong-royong dan pelbagai aktiviti tradisional yang menjadi identiti bangsa,” katanya ketika ditemui BH.

Pulau Misa turut menampilkan demonstrasi pembuatan tanjak, seni persilatan, permainan rebana dan sebagainya selain berpeluang melihat pelbagai koleksi busana.

Terima pelancong luar negara

Menurut Osman, lokasi itu pernah menerima kunjungan pelancong dari Russia, Jepun dan Jerman menerusi program antarabangsa yang dianjurkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus membuktikan potensinya sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan budaya.

“Pendedahan program yang berkaitan sejarah, muzik tradisional, budaya dan adat istiadat penting bagi memastikan warisan budaya terus difahami dan dihargai oleh generasi masa depan,” katanya.

Usaha memperkasakan Pulau Misa turut mendapat pengiktirafan apabila Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) menobatkannya sebagai ikon pelancongan daerah sempena Tahun Melawat Perak 2024. Melalui pengiktirafan itu, perkampungan berkenaan menerima peruntukan RM60,000 bagi pembinaan kemudahan tandas baharu, termasuk tandas mesra orang kurang upaya (OKU).

Kawasan itu turut menerima manfaat pembangunan infrastruktur menerusi pembinaan jalan berturap sepanjang kira-kira 450 meter yang menghubungkan Pulau Misa dengan Jalan Bota Kiri-Teluk Sena. Projek bernilai RM200,000 itu dibiayai melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri Perak (ICU JPM Perak).

“Dengan sokongan pelbagai pihak, kami berharap Pulau Misa terus berkembang sebagai pusat warisan budaya Melayu yang bukan sahaja memelihara sejarah, malah menjadi tarikan pelancongan utama di Perak,” katanya.

Pada masa sama, Pulau Misa juga menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti berkayak di Sungai Perak, berkhemah memanah dan berkuda.

Semarak Warisan serta Pelancongan Pesisir Sungai diletakkan sebagai agenda yang ingin dicapai melalui flagship ‘Ekonomi Pengalaman’ dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Di bawah flagship itu, PBT terutamanya PBT yang berada di sepanjang aliran Sungai Perak, selain Lembaga Penggalak Pelancongan Negeri Perak (Tourism Perak) diletakkan sebagai antara agensi penerajunya, selain ICU turut berperanan di dalam pelan yang sama.

Sumber : Berita Harian