KAMPAR – Seorang pekerja pembersihan swasta yang menetap di Taman Bina Jaya, Malim Nawar di sini bersyukur kerana Kad Perak Sejahtera amat membantunya sekeluarga dalam pembelian makanan dan barangan keperluan secara bulanan.
Menurut Takhiuddin Yunus, 53, ini memandangkan pendapatan kasarnya hanya sekitar RM1,700 sebulan selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anaknya yang belum berkahwin.
“Saya turut melakukan pekerjaan sampingan dengan menjual buah kelapa yang siap diproses kepada penjual kuih dan kedai berdekatan untuk menambah pendapatan.
“Isteri, Nafishah Abu Shari, 48 turut membantu menjual barangan cenderamata seperti rantai kunci dan gubahan bunga bersaiz kecil. Adalah buat tambah-tambah (pendapatan),” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, penerimaan Kad Perak Sejahtera sejak lebih setahun lalu walaupun hanya RM100 sebulan membolehkannya membeli barangan seperti beras, minyak masak, telur serta ayam.
“Besar nikmatnya ada Kad Perak Sejahtera ini. Walaupun bagi orang lain mungkin nilainya kecil tetapi bagi saya ia memenuhi keperluan makanan sekeluarga,” katanya.
Tambahnya, lebihan duit boleh disalurkan kepada tiga anaknya yang masih belajar di universiti dan sekolah menengah.
Takhiuddin sekeluarga juga pernah menerima bantuan kotak makanan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang mengandungi barangan keperluan asas dapur seperti beras, minyak masak dan gula.
Ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perak untuk membantu golongan B40, miskin tegar dan rakyat yang terjejas.
Anak-anaknya turut menerima bantuan membeli kelengkapan persekolahan Back To School anjuran kerajaan negeri yang diselia oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd. Azlan Helmi.
Dia turut terharu dengan keprihatinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan setiap rakyat menjadi keutamaan.
Saarani dalam Belanjawan 2026 pada November lalu mengumumkan penerima Kad Perak Sejahtera seramai 21,000 orang, dengan peruntukan sebanyak RM24.5 juta.
Inisiatif itu membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar membeli keperluan asas harian di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
Ini merupakan inisiatif dan komitmen Saarani untuk membasmi kemiskinan tegar selaras dengan flagship keenam: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sumber: Kosmo

© 2026. Hak cipta terpelihara.