BATU GAJAH: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Sungai Terap di sini memperkasa usaha pemeliharaan alam sekitar dengan menerapkan elemen pendidikan dan penjagaan sungai kepada penduduk menerusi penubuhan pasukan renjer sungai atau River Ranger.
Ditubuhkan pada 2022, Program River Ranger KRT Sungai Terap memberi tumpuan kepada usaha memelihara kebersihan dan kelestarian sungai, khususnya di kawasan sepanjang aliran Sungai Kinta yang berada dalam kawasan pentadbiran KRT berkenaan, sekali gus menggalakkan pembabitan aktif komuniti dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Pengerusi program itu, Mohamad Shahrani Zainal Abidin, 41, berkata River Ranger menjadi platform menggalakkan pembabitan aktif sukarelawan serta belia untuk bersama-sama mempamerkan komitmen dalam usaha memelihara khazanah alam, sekali gus memupuk semangat cintakan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa KRT terbabit, berkata antara visi KRT Sungai Terap ıslah memperkasa komuniti ke arah pengawasan kelestarian alam termasuk sungai, selain dari memupuk amalan ke arah agenda kehiajauan serta menuju kelestarian.
Katanya, penyertaan dalam River Ranger adalah secara sukarela membabitkan penduduk setempat yang berperanan memantau keadaan Sungai Kinta, termasuk melaporkan sebarang kejadian pencemaran selain menganjurkan program gotong-royong membersihkan sungai dan saliran, terutama ketika musim banjir.
“Bagaimanapun, sebahagian besar aktiviti KRT di sini berteraskan amalan hijau dan kelestarian alam sekitar, termasuk pengumpulan minyak masak terpakai serta pertandingan menghasilkan produk daripada bahan kitar semula yang turut membabitkan penyertaan pelajar sekolah,” katanya kepada BH.
Mohamad Shahrani berkata, KRT Sungai Terap menjadi peserta tunggal dalam program River yang pada asalnya ditubuhkan melalui projek Pengawasan Kelestarian Tadahan Sungai Kinta dilaksanakan oleh Global Environment Centre (GEC) dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Menurutnya, program dianjurkan renjer sungai KRT itu sudah disertai kira-kira 130 sukarelawan yang rata-ratanya adalah dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Terap, dengan kebanyakan program turut mendapat kerjasama serta sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Katanya, penubuhan renjer sungai itu mendapat kerjasama padu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dengan fokus memastikan seluruh kawasan Tadahan Sungai Kinta sentiasa dalam keadaan sihat dan lestari melalui pembabitan komuniti.
“KRT Sungai Terap mendapat kerjasama rapat dengan MDBG kerana setiap kali program anjuran mereka kita sertai, begitu juga sebaliknya. Malah, PBT juga ada menyertai dan membantu dari segi logistik dalam program anjuran KRT kami.
“Contohnya dalam program pembersihan mega sempena World Cleanup Day-WCD yang KRT kami anjurkan, MDBG memperuntukkan bajet untuk keperluan logistik seperti penyediaan pentas serta barangan keperluan lain bagi program itu,” katanya.
Beliau berkata, selain membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial, khususnya menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) peranan KRT sewajarnya turut dilihat dapat memberi penekanan terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan bagi kesejahteraan komuniti termasuk dalam agenda hijau.
Menurutnya, program kehijauan oleh KRT Sungai Terap disifatkan ‘luar kotak’, berbanding KRT lain yang lazimnya menumpukan elemen perpaduan. Sementara itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut menyokong inisiatif dijalankan KRT Sungai Terap.
“JPNIN juga memuji inisiatif yang dilakukan KRT Sungai Terap ini walaupun di KRT lain aktiviti atau program yang difokuskan mungkin berbentuk perpaduan dan kenegaraan.
“Pada masa sama, KRT kami banyak menganjurkan program lain berdasarkan tarikh kepada sambutan yang digazetkan oleh UN (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) berkaitan iklim, alam sekitar, dan kelestarian,” katanya.
Komuniti Perak Sejahtera yang di bawahnya diletakkan KRT, adalah antara flagship pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dengan JPNIN diletakkan sebagai agensi penerajunya.
Kelestarian Alam dan Biodiversiti turut diletakkan sebagai antara agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030; selain Pemerkasaan PBT.
Sumber : Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.