GERIK: Kampung Bongor, di sini bukan hanya menjadi tarikan pelancongan bagi aktiviti pendakian, malah turut menyimpan khazanah alam terlindung di hutan simpan berhampiran, iaitu bunga pakma atau Rafflesia.
Bunga parasit itu hidup liar dalam kawasan hutan, manakala Bukit Bongor yang berketinggian 581 meter menyajikan pemandangan landskap lembah dan pergunungan Banjaran Bintang dan Titiwangsa sekitar Gerik dengan panorama ‘awan karpet’ serta sesuai bagi menghayati suasana stargazing (memerhati bintang).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bongor, Mohamad Ghazali Salleh, 59, berkata dua tarikan utama itu menjadikan Kampung Bongor dengan kira-kira 1,300 penduduk, kerap menerima kunjungan luar, khususnya yang berbentuk lawatan berkumpulan.
Beliau berkata, 13 daripada 20 spesies bunga Rafflesia yang ada di dunia, terdapat di kampung itu membabitkan jenis seperti spesies Azlani, Cantly dan Rezanty (Pakma Tikus) yang hidup di kawasan seakan ‘taman’ berkeluasan lima hektar dalam hutan simpan.
Katanya, lawatan berkumpulan yang kerap diterima juga membuka ruang kepada pengunjung untuk menikmati masakan istimewa penduduk kampung seperti nasi yang dimasak dalam buluh disertai ikan sebarau atau tilapia bakar.
Katanya, hal itu membuka peluang kepada JPKK untuk menyemarakkan pakej pelancongan yang terdapat di perkampungan itu termasuk melalui pembelian lima unit kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) menerusi program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) pada 2024.
Ghazali berkata, selain pembelian 5 ATV berkenaan, peruntukan RM100,000 diperoleh melalui Sejati MADANI turut digunakan dengan baik bagi merancakkan ekonomi kampung dengan pembelian khemah kenduri, kerusi meja, sistem siar raya (PA system) dan alat jana kuasa bagi sewaan dan aktiviti sosial.
“Contohnya, ATV boleh disewakan kepada pengunjung luar sama ada untuk bersiar-siar di kampung mahupun digunakan untuk melihat bunga Rafflesia yang di hutan atau ke Bukit Bongor untuk mendaki. Kedatangan pelancong ke kampung kami juga bantu meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, projek yang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan kepada penduduk kampung, khususnya usahawan kecil.
Menurutnya, JPKK turut beroleh manfaat menerusi projek yang dipantau melalui Pegawai Lapangan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada peringkat daerah, iaitu membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Perak, terutama dalam membantu golongan rentan serta memerlukan selain bagi penganjuran program komuniti.
ICU JPM diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada flagship ‘Membasmi Miskin Tegar 2025’ yang digariskan dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sementara PDT turut diletakkan sebagai antara agensi peneraju dalam flagship ‘Ekonomi Pengalaman’.
“Pendapatan yang diperoleh hasil sewaan peralatan yang dibeli menggunakan peruntukan Sejati MADANI sebahagiannya turut diagihkan kepada penduduk kampung yang susah lagi memerlukan termasuk yang memerlukan bantuan seperti bumbung rumah bocor, ditimpa bencana, atau sakit yang memerlukan peralatan sokongan.
“Duit itu juga ada kalanya digunakan sebagai modal pusingan untuk penganjuran pelbagai program komuniti di kampung termasuk yang membabitkan penyertaan dari luar khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di mana mendaki Bukit Bongor umpamanya menjadi sebahagian tentatif mereka,” katanya.
ICU JPM diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada ‘flagship’ ‘Membasmi Miskin Tegar 2025’ yang digariskan dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sementara PDT turut diletakkan sebagai antara agensi peneraju dalam flagship ‘Ekonomi Pengalaman’.
Sumber : Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.