Gerik: Berbekalkan azam mengubah nasib keluarga, bapa tiga anak dari Felda Lawin Selatan ini bangkit daripada golongan asnaf kepada penternak kelulut berjaya.
Megat Mt Nayan, 46, dahulunya bekerja sebagai penoreh getah sekitar 10 tahun lalu dengan pendapatan antara RM300 hingga RM600 sebulan.
Menurutnya, beliau tiada pilihan memandangkan itu sahaja peluang pekerjaan yang ada di kawasan kampung di samping bekerja sambilan di pejabat penghulu demi menyara keluarga kecilnya.
“Saya mula menoreh getah sekitar 10 tahun lalu selepas pulang bekerja di luar kawasan dan menetap semula di Felda Lawin Selatan.
“Di kawasan kampung ini peluang kerja sangat terhad kerana tiada kilang atau industri, jadi kebanyakannya hanya bergantung kepada kebun getah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Megat, ketika itu beliau sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak yang masih kecil, sekali gus menjadikan keadaan kewangan semakin mencabar.
Bagaimanapun, nasibnya mula berubah selepas mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menawarkan beliau mengikuti kursus asas penternakan kelulut secara percuma pada November 2023.
Katanya, beliau mengikuti kursus asas selama tiga hari di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong sebelum menyertai kursus lanjutan selama enam bulan bagi mempelajari teknik penternakan secara lebih mendalam.
“Pada awalnya saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai kelulut, tetapi melalui kursus itu saya belajar cara memelihara, mengurus sarang, teknik mengambil madu serta potensi menghasilkan pelbagai produk daripada madu kelulut.
“Selepas tamat kursus, saya mula menternak secara kecil-kecilan dengan satu sarang yang sedia ada di rumah.
“Melihat kesungguhan saya, selepas kursus lanjutan enam bulan, MAIPk memberikan lima sarang kelulut sebagai permulaan,” katanya.
Menurutnya, beliau kemudian mengembangkan ternakan dengan membeli tambahan sarang menggunakan simpanan elaun kursus selain menerima bantuan daripada agensi seperti Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Hari ini saya mempunyai hampir 70 sarang kelulut yang diusahakan di sekitar kawasan rumah dan beberapa lokasi lain berhampiran kampung dengan menumpang tanah milik rakan-rakan,” katanya.
Megat berkata, hasil daripada ternakan itu kini mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan bergantung kepada pengeluaran madu.
Namun, katanya, perjalanan untuk berjaya dalam bidang itu bukan mudah kerana beliau terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan pemangsa kelulut, sarang rosak serta kekangan ilmu pada peringkat awal.
“Pada peringkat awal banyak cabaran saya hadapi termasuk serangan serangga perosak, masalah sarang tidak menjadi dan juga kekangan modal.
“Namun saya terus belajar dan memperbaiki teknik penternakan sehingga mampu mengembangkan jumlah sarang seperti hari ini,” katanya.
Beliau berkata, MAIPk juga terus memberi sokongan susulan termasuk membantu mendapatkan dana pembiayaan daripada beberapa agensi kewangan bagi mengembangkan perniagaan.
Katanya, antara bantuan diterima termasuk pembiayaan RM13,500 melalui SME Bank selain bantuan tambahan daripada agensi lain bagi membeli peralatan pemprosesan madu serta keperluan pembungkusan.
Megat turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak dan MAIPk kerana memberi peluang kepada golongan asnaf sepertinya untuk membina kehidupan lebih baik melalui program keusahawanan.
Katanya, inisiatif itu membuktikan komitmen MAIPk sebagai agensi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Alhamdulillah, bantuan dan bimbingan yang diberikan banyak mengubah kehidupan saya dan keluarga.
“Daripada hanya bergantung kepada kerja menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu, kini saya dapat menyediakan kehidupan yang lebih stabil untuk isteri dan anak-anak,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.