Teluk Intan: Bermula daripada kebun sayur kecil di tepi rumah enam tahun lalu, bekas jurutera perisian komputer ini nekad bertukar bidang sehingga berjaya menjadikan pertanian sebagai sumber rezeki.
A Srinath, 31, dari Changkat Jong, di sini, berkata, keputusan meninggalkan kerjaya profesional dibuat ketika pandemik Covid-19 selepas melihat potensi besar dalam sektor pertanian.
“Saya bekerja sebagai jurutera perisian lebih kurang tiga tahun, kemudian semasa Covid-19 pada 2020 saya mula cuba bidang pertanian secara kecil-kecilan di tepi rumah.
“Mula-mula sekadar hobi saja, tanam cili varieti Sakata dan Kulai di kawasan kecil kerana ada masa lapang dan tak boleh ke mana-mana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lama-kelamaan, minat itu berubah menjadi serius selepas saya lihat permintaan tinggi terhadap cili di pasaran tempatan. Malaysia masih bergantung kepada import cili sekitar 70 peratus, jadi permintaan memang tinggi tetapi bekalan tempatan kurang,” katanya.
Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, pada peringkat awal beliau belajar bertani secara kendiri melalui video dalam talian, YouTube, namun mengakui hasil pertaniannya ketika itu kurang memberangsangkan.
Katanya, nasibnya mula berubah selepas menyertai kursus fertigasi cili anjuran Jabatan Pertanian Perak pada 2021 yang banyak membantu memperbaiki teknik dan kesilapan sebelum ini.
“Sistem fertigasi lebih moden dan tidak memerlukan kaedah tradisional yang rumit, jadi kerja lebih mudah dan efisien.
“Ketika kursus, saya berpeluang berkenalan dengan petani lain yang akhirnya membantu saya meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang ini.
“Jabatan Pertanian juga memberikan bantuan input pertanian seperti baja dan racun bagi menyokong penghasilan sayur di kebun,” katanya.
Srinath berkata, beliau turut menerima bantuan geran Agropreneur Muda daripada Jabatan Pertanian Perak bernilai RM30,000 pada tahun lalu bagi mengembangkan ladang dan meningkatkan pengeluaran.
Bermula dengan hanya 400 polibeg di tepi rumah, beliau kini mengusahakan kira-kira 43,000 polibeg tanaman di tanah seluas hampir enam hektar yang disewa sekitar Teluk Intan.
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Selain cili, saya kini mengusahakan pelbagai jenis tanaman lain termasuk terung, timun, kacang panjang, bendi, peria dan labu air.
“Hasil pertanian dihantar ke pasar borong di Selayang, selain memenuhi permintaan pelanggan tempatan sekitar Perak.
“Saya merancang menghasilkan produk hiliran berasaskan hasil tanaman seperti sambal dan cili kering jenama sendiri yang sekarang masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Terbaharu, beliau berkata, teknologi pertanian fertigasi turut mendapat perhatian luar negara apabila dijemput berkongsi kepakaran di Sri Lanka dua minggu lalu dan sedang berusaha mengembangkan projek ke Indonesia.
“Saya berharap lebih ramai golongan muda berani menceburi bidang pertanian moden yang dilihat mempunyai potensi besar pada masa hadapan.
“Pertanian bukan lagi kerja lama atau susah, dengan teknologi sekarang ia boleh menjadi satu kerjaya yang menguntungkan,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.