MANJUNG: Meninggalkan hasrat memasuki pekerjaan sektor awam seperti semua abang dan kakaknya kira-kira 18 tahun lalu, tidak dikesali Mohd Farish Ahmad, 39, yang kini bergelar usahawan ternak lembu fidlot berjaya.

Lebih membanggakan, menerusi syarikat Myafarish Agrofarm yang dibangunkan, perolehan tahunan Mohd Farish boleh mencecah tujuh angka.

Selain mengusahakan ternakan lembu fidlot di Kampung Sungai Tuntong, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, lepasan Diploma Perakuanan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang itu turut mengusahakan beberapa perniagaan lain.

Antaranya pasar mini, khidmat katering, sewaan kanopi, dan jualan makanan ternakan.

Mohd Farish yang juga anak bongsu daripada lapan beradik berkata, dia mula menceburi bidang penternakan sejurus tamat pengajian di PSAS pada 2007.

Ibu dan bapanya yang banyak mendorong dia mengusahakan tanah terbiar peninggalan datuknya, berbanding kerja makan gaji.

“Mulanya saya menginginkan kerja kerajaan memandangkan semua abang dan kakak saya berkhidmat sebagai kakitangan awam. Sebaliknya, emak menggalakkan saya mengusahakan kebun di kampung yang sebelum ini diusahakan arwah datuk.

“Namun, apabila datuk meninggal dunia, kebun itu terbiar. Saya turuti nasihat emak dan mulakan dengan menternak lima ekor lembu secara lepas bebas pada 2008.

“Selepas itu agensi kerajaan terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) banyak menyalurkan bantuan. Pembabitan saya bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) juga sangat membantu hingga saya mencapai tahap sekarang,” katanya kepada BH.

Lembu yang diternak Mohd Farish di kawasan seluas satu hektar suatu ketika dulu pernah mencecah sehingga lebih 200 ekor apabila diternak secara lepas bebas di kawasan kebun kelapa sawit.

Bagaimanapun, jumlah itu kini berkurangan apabila mod ternakan ditukar kepada fidlot berikutan, beberapa kekangan jika diternak secara lepas bebas terutamanya masalah lembu hilang.

Bantuan lembu, geran 

Menurutnya, selain bantuan berupa pinjaman dalam bentuk pemberian lima lembu betina untuk dijadikan induk pembiak baka dia turut menerima bantuan geran bernilai RM111,000 daripada JPV.

Katanya, pembabitan bersama PPK juga sangat membantu terutama dalam menukar mod penternakan, daripada lepas bebas kepada penternakan fidlot.

“Cara ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam pemasaran lembu dan memaksimumkan pulangan.

“Daripada lima induk lembu terawal yang saya ternak, ternakan itu membiak menjadi kira-kira 30 ekor. Namun, apabila lembu sudah banyak, jualan pula bermasalah memandangkan perlu melalui orang tengah.

“Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar PPK, termasuk penyertaan pelbagai kursus, saya semakin berdikari,” katanya.

Mohd Farish berkata sebahagian besar daripada pulangan diperolehnya adalah hasil daripada penternakan lembu manakala perniagaan pasar mini yang menjual sebahagian hasil penternakan diusahakannya dan dikendalikan sepenuhnya oleh isterinya, Mahirah Supi, 38.

“Terkini, saya juga ada buat usaha sama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi jualan makanan ternakan dan turut membekalkan makanan lembu,” katanya.

Pencapaian Mohd Farish sebagai usahawan tani melayakkan beliau menerima beberapa anugerah antaranya Anugerah Usahawan Peladang Terbaik MAHA 2024 dan Anugerah Peladang Muda Pintar Kebangsaan 2024 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

JPV serta Perak SADC diletakkan sebagai antara agensi peneraju dalam andalan atau flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (sekuriti makanan) menerusi pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian

en_USMalay