Gerik: Penyertaan dalam latihan serta bimbingan tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mendorong seorang wanita kini giat menjalankan khidmat menggunting rambut secara bergerak di luar bandar bagi membantu suami yang juga seorang tukang gunting rambut menyara kehidupan sekeluarga.
Nor Azlina Mat Shah, 40, yang juga ibu kepada tiga anak dari Felda Bersia, di sini adalah antara 25 peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2025 anjuran MAIPk bagi kursus gunting rambut secara bergerak di bawah seliaan Fauzana Legacy Academy.
Nor Azlina berkata, kemahiran gunting rambut dipelajari melalui kursus disertai sejak Jun itu, membolehkan dia menjalankan perkhidmatan gunting rambut bergerak di FELDA Bersia, sekali gus bergelar tukang gunting seperti suaminya yang mengusahakan khidmat gunting rambut sejak lima tahun lalu.
“Suami memang tukang gunting rambut di premis dibina sendiri di FELDA Bersia. Jadi sekarang kami berdua ‘jalan’ sekali sebagai tukang gunting rambut dengan suami kekal di kedai, manakala saya menawarkan khidmat potong rambut secara bergerak.
“Setakat kurang seminggu saya jalankan khidmat potong rambut secara bergerak ini, permintaan terlampau tinggi di kawasan penempatan saya memandangkan penduduk kawasan luar bandar seperti kami khususnya wanita biasanya jarang untuk mencuci atau memotong rambut di kedai,” katanya kepada BH.
Nor Azlina berkata, bagi membantu suami, Azron Hafiz Hazizi, 43, dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan sebagai tukang gunting dalam membesarkan tiga anak yang masih bersekolah, berniaga secara kecil-kecilan sebelum ini termasuk menjual lemang sewaktu musim perayaan.
“Namun, sekarang saya ingin fokus menawarkan khidmat gunting rambut sepenuhnya. Perancangan adalah membuka salon rambut muslimah di kawasan penempatan saya yang hanya dibuka berdasarkan sesi temujanji, manakala perkhidmatan potong rambut secara bergerak akan diteruskan.
“Ia kerana permintaan khidmat bergerak sangat tinggi apabila ramai menghubungi saya tidak henti-henti sejak mula menawarkan khidmat bergerak, jadi saya fikir dengan salon itu nanti saya hanya duduk di kedai sekiranya ada temu janji,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan dalam program PROPER A MAIPk itu membolehkan dia dibekalkan seunit motosikal lengkap dengan kit perniagaan berkaitan perkhidmatan gunting rambut secara bergerak.
MAIPk peruntuk RM5.5j
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh, berkata RM5.5 juta diperuntukkan MAIPk bagi 2025 untuk pelaksanaan program keusahawanan kepada asnaf dilaksanakan secara strategik bagi memastikan manfaat maksimum kepada peserta.
Katanya, ia termasuk bagi program PROPER A yang sudah dimulakan sejak 2016, di mana pembaharuan dilakukan terhadap program itu untuk 2025 adalah dengan menyediakan kepada pesertanya peralatan dalam bentuk perkhidmatan bergerak bagi perkhidmatan gunting rambut dan baik pulih telefon bimbit.
“Perkhidmatan bergerak ini adalah hasil projek rintis yang kita buat pada tahun lepas yang memberi pulangan sangat baik kepada peserta. Kita melihat keperluan itu masih ada dalam pasaran yang menjadikan kita perluaskan lagi program ini termasuk dengan pemberian motosikal,” katanya.
Dalam Majlis Penyerahan Kelengkapan Perniagaan Usahawan PROPER A 2025 pada 5 Ogos lalu, sebanyak 50 unit motosikal berserta peralatan diserahkan kepada peserta PROPER A 2025 MAIPk yang masing-masing membabitkan 25 peserta kursus baik pulih telefon pintar dan 25 peserta kursus gunting rambut.
MAIPk diletakkan sebagai antara agensi pelaksana kepada agenda ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ di bawah andalan atau flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti dicatatkan menerusi pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Berita Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.