TAIPING: Penguasaan bahasa Inggeris penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan kunci memperoleh sebahagian besar ilmu dalam mata pelajaran Sains, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menyedari hal itu, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM) mengambil pendekatan menguruskan Kelas Ilmu Marhaen membabitkan tuisyen percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Perdana, di sini.
Pengerusi KMM, Faizzul Amri Shahabuddin, 45, berkata projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang turut memperuntukkan seunit rumah di PPR itu dan membiayai sepenuhnya tenaga pengajar.
Beliau berkata, kelas tuisyen itu membimbing golongan sasar membabitkan kira-kira 20 murid Tahun 2 hingga Tahun 4 bagi satu sesi kumpulan sejak Februari 2024.
“Tuisyen itu tidak menyasarkan pelajar mendapat A, sebaliknya membantu memantapkan komunikasi mereka supaya tidak segan, mahir dan berani bertutur dalam bahasa Inggeris bagi percakapan harian,” katanya.
Menurut Faizzul Amri, selain dijadikan tempat tuisyen bahasa Inggeris, unit PPR itu turut dimanfaatkan sebagai lokasi sementara program Dapur Komuniti, iaitu program menimba ilmu berkaitan kemahiran memasak kepada penghuni PPR di lokasi itu bermula Mei ini.
“Ketika ini tuisyen bahasa Inggeris dijalankan sehari dalam seminggu untuk anak dalam keluarga B40 atau kurang berkemampuan.
“Bagi program Dapur Komuniti, ia menyasarkan suri rumah dari B40 dan juga khusus bagi ibu tunggal dan asnaf serta peniaga kecil-kecilan untuk menimba ilmu amali terutama berkaitan masakan termasuk bakeri, kek, roti dan pastri.
“Dengan ilmu ditimba itu, golongan sasar berkenaan berpeluang menjana pendapatan sampingan seterusnya memacu perkembangan ekonomi setempat,” katanya kepada BH.
Katanya, ketika ini pihaknya dalam proses perolehan prasarana yang ditawarkan LPHP melalui EXCO kerajaan negeri yang menjaga portfolio perumahan, Sandrea Ng. Antaranya berbentuk kabin kontena bagi menjayakan program Dapur Komuniti itu secara lebih sempurna.
“Sebelum ini program Dapur Komuniti dijalankan di tempat lain dan dalam masa terdekat, program sama akan dijalankan di PPR Simpang Perdana ini,” katanya.
Menurutnya, kepercayaan diberikan oleh LPHP bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu kerana KMM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan kepada kebajikan.
Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, LPHP diletakkan sebagai antara agensi peneraju bagi mencapai agenda menerusi inti pati flagship Perumahan Sejahtera. Pelan sama turut menggariskan Program Menyantuni Golongan Rentan sebagai antara flagship.
Sumber: Berita Harian