Parit Buntar: Bermula sebagai penternak ikan kecil-kecilan bermodalkan sangkar kayu empat tahun lalu, kini Leng Ching Kiam, 43, berjaya meraih hasil lumayan.

Leng berkata, berbekalkan pengalaman sebagai penternak ikan sejak muda, dia memulakan perusahaan akuakultur sendiri di perairan Kuala Kurau di sini pada Februari 2022.

Pada peringkat awal, katanya, dia menggunakan sangkar kayu tradisional dengan sekitar 60 petak bagi menampung ternakan seperti ikan merah dan bawal emas.

“Namun, cabaran cuaca buruk dan ombak kuat menyebabkan kayu cepat reput apabila terendam dalam air masin.

“Setiap kali ribut, kami perlu tukar papan dan paku menyebabkan kos penyelenggaraan menjadi sangat tinggi,” katanya.

Bimbang terhadap situasi itu, bapa dua anak ini sedar keperluan beralih kepada teknologi moden seperti sangkar bulat High Density Polyethylene (HDPE) yang lebih tahan lama dan selamat.

Bercerita lanjut, Leng berkata, dia mengimport lapan unit sangkar bulat HDPE dari China ke perairan Kuala Kurau pada Mac 2023.

“Tempoh penternakan bawal emas mengambil masa enam hingga lapan bulan, manakala ikan merah pula dua tahun.

“Aktiviti penuaian dilakukan hampir setiap hari dengan setiap sangkar mampu mengeluarkan anggaran 15 hingga 20 tan metrik.

“Ikan-ikan ini dipasarkan ke pemborong di Perak dan Pulau Pinang,” katanya yang turut membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada 20 penduduk tempatan.

Dia mengakui menerima pelbagai bentuk bimbingan dan sokongan Jabatan Perikanan Perak, khususnya dari segi latihan serta bantuan insentif.

“Pada awal tahun ini, Jabatan Perikanan meluluskan insentif RM500,000 di bawah Program Pembangunan Integrasi Akuakultur.

“Dana itu digunakan bagi menampung sebahagian besar kos pelaburan awal termasuk pembelian sangkar HDPE, bot vessel dan peralatan operasi,” katanya.

Dia menjelaskan, bantuan serta sokongan itu membuktikan komitmen Jabatan Perikanan Perak sebagai agensi peneraju dalam agenda Keterjaminan Makanan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Leng berkata, syarikatnya turut memperoleh pensijilan Amalan Akuakultur Baik (GAQP) daripada Jabatan Perikanan.

Pengiktirafan itu menandakan perusahaannya mematuhi piawaian kebersihan, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.

Berkongsi perancangannya, Leng mahu memperluas pasaran ke seluruh Malaysia dan dalam jangka panjang menembusi pasaran eksport.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay