IPOH – Kejayaan sebenar bukan diukur dengan gaji besar atau bekerja di luar negara tetapi apabila mampu membawa keluar keluarga dari kepompong kesusahan.
Itulah yang dilakukan seorang graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Nur Shazeren Iskandar Saharudin, 25, yang dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik bagi Penyediaan dan Pembuatan Makanan di Akademi Haaza Centre of Excellence (Akademi Haaza) baru-baru ini.
Namun di sebalik kejayaan itu, Nur Shazeren membuat satu keputusan besar apabila menolak tawaran kerja di Australia demi menjaga ibu yang kurang sihat dan membantu ayah yang masih bekerja walaupun sudah berusia.
“Kejayaan ini sesuatu yang tidak dijangka namun saya berbangga kerana dapat membalas jasa ibu bapa dan keluarga serta semua pihak yang membantu saya sehingga ke tahap ini.
“Jika tiada ada sokongan mereka, saya tak sampai ke tahap ini. Tawaran ke luar negara memang lumayan, tetapi saya lebih tenang berada dekat dengan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui ketika Majlis Graduasi Akademi Haaza Centre of Excellence 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Sabtu.
Lebih manis lagi, penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anak kedua daripada lima beradik itu mula menceburi bidang kulinari ketika berusia 18 tahun selepas meninggalkan pengajian dalam bidang automotif.
“Kini saya bekerja di sebuah hotel di Ipoh dan memudahkan saya untuk membantu adik-beradik yang lain. Saya mahu buktikan walaupun dari keluarga yang susah, kita tetap boleh berjaya kalau berusaha.
“Jangan pernah rasa rendah diri kerana rezeki datang dengan cara yang tidak disangka,” katanya.
Kejayaan Nur Shazeren turut didorong oleh bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menaja sepenuhnya pengajiannya selama sembilan bulan di akademi berkenaan.
Tajaan bernilai RM20,000 itu meliputi yuran, peralatan, penginapan termasuk elaun RM600 sebulan.
Akademi Haaza mempunyai 136 graduan pada tahun ini dan seramai 25 orang daripadanya termasuk Nur Shazeren menerima tajaan MAIPk.
Usaha MAIPk itu selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan modal insan, pengurangan kadar pengangguran dan peningkatan kemahiran teknikal belia untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Sumber: Sinar Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.