Manjung: Ketika ramai rakan seusianya menjadikan sektor korporat dan profesional sebagai kerjaya, Tiang Wai Bin, 31, pula lain kisahnya apabila memilih bidang pertanian sayur sebagai mata pencarian.

Namun, hal itu tidak pernah disesalinya kerana kini dia mampu meraih pendapatan baik hasil tanaman 40,000 beg poli di kebun seluas lebih lapan hektar di Segari, di sini.

Anak jati Sitiawan itu berkata, minat terhadap pertanian mula bercambah sejak kecil apabila dia sering membantu keluarganya mengusahakan kebun kelapa sawit.

Minat itu diperkuatkan lagi selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu menamatkan pengajian dalam bidang pertanian di Universiti Teknologi dan Sains Pingtung, Taiwan pada 2016.

“Selepas balik Malaysia, saya bekerja sebagai kerani sambil membantu keluarga di kebun sawit. Tetapi, saya rasa jiwa saya ingin mencuba tanaman kontan yang memberi pulangan lebih cepat.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk cuba bidang tanaman lain yang lebih mencabar,” katanya.

Wai Bin berkata, dia memulakan langkah awal pada 2021 dengan menanam 9,000 beg poli cili secara fertigasi di tanah sewaan seluas dua hektar di kawasan sama.

Namun, selepas satu musim, dia mendapati tanaman itu memerlukan ramai pekerja dan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Cili ada permintaan, tetapi risikonya besar. Selain mudah diserang penyakit, harganya tidak stabil kerana banyak diimport dari luar negara.

“Lambakan cili di pasaran ketika itu menyebakan harganya jatuh daripada RM11 sekilogram (kg) kepada hanya RM3. Bila harga jatuh, modal pun tak lepas,” katanya.

Wai Bin berkata, selepas menilai semula keupayaan dan kos operasi, dia mengambil keputusan beralih kepada tanaman terung yang menurutnya lebih stabil dan kurang bergantung kepada tenaga kerja ramai.

Percubaannya bermula dengan menanam terung dalam 9,000 beg poli dan ternyata hasilnya lebih baik dengan hasil tuaian sekitar 20 tan setiap bulan.

Bermula dari situ, Wai Bin menambah keluasan tanaman secara berperingkat tahun demi tahun sehingga kini mencapai 40,000 beg poli dan mampu menuai 60 tan hasil setiap bulan.

“Anak pokok terung hanya mengambil masa dua bulan untuk membesar dan mengeluarkan hasil, kemudian saya boleh tuai pokok sama selama empat bulan sebelum tanam pokok baharu.

“Semua hasil tuaian saya pasarkan ke Pasar Borong Selayang dan pasar raya NSK sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang lima tahun bergiat aktif, Wai Bin berkata, antara cabaran utama dihadapinya ialah faktor cuaca tidak menentu dan pengurusan pekerja asing.

“Kalau musim hujan, tanah jadi lembap menyebabkan pokok berisiko mati. Pada tahun pertama, saya pernah rugi kerana kawasan kebun rendah dan mudah banjir setiap kali hujan lebat berterusan.

“Saya belajar tambah baik sistem saliran di kebun dengan membuat kolam supaya air hujan yang terkumpul segera disalur keluar dengan menggunakan mesin pam air,” katanya.

Menurutnya, latihan pekerja asing juga mencabar kerana mereka perlu dilatih memahami kaedah penjagaan fertigasi dari peringkat awal sehingga penuaian.

Wai Bin berkata, pencapaiannya itu tidak akan terjadi tanpa bimbingan dan sokongan Jabatan Pertanian Perak yang menyediakan kursus dan geran input pertanian.

“Pegawai pertanian banyak bantu memberi tunjuk ajar melalui kursus bagi memastikan saya sentiasa mengetahui dan mempraktikkan kaedah penjagaan pokok terung yang baik supaya terhindar daripada serangan penyakit serta boleh hasil tuaian dioptimumkan.

“Saya juga menerima bantuan baja dan struktur besi untuk pokok melalui geran Jabatan Pertanian sejak 2022,” katanya yang kini menggaji 30 pekerja tetap.

Dia berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak sebagai agensi peneraju agenda Keterjaminan Makanan seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay