Ipoh: Bermula sebagai perniagaan kecil di pasar malam sekitar Gunung Rapat, di sini sejak lebih tujuh dekad lalu, jenama biskut tradisional Loke Kee kini melangkah jauh ke pasaran antarabangsa hasil bantuan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Pengurus Besar Loke Kee Biscuits & Cake Shop Sdn Bhd, Fong Pui Mun, 31, berkata, perniagaan itu diasaskan datuknya Fong Loke Sang pada 1947 sebelum diambil alih bapa, Fong Yee Tuck, pada 1999 yang menumpukan usaha menaik taraf pembungkusan, memperkemas proses pengeluaran dan meluaskan pasaran runcit moden.
“Pada awalnya datuk hanya menjual biskut di pasar malam dan pasar awam.
“Selepas ayah ambil alih, beliau mula fokus pada kualiti, standard keselamatan makanan serta menjadikan produk kami sesuai masuk ke pasar raya besar dan kedai runcit di lokasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, sekarang lebih 30 variasi biskut Loke Kee dijual di Watsons, Aeon, The Store, kedai serbaneka, premis cenderamata lapangan terbang serta platform dalam talian seperti Shopee, Lazada dan laman web rasmi.
Menurut Pui Mun, Loke Kee mula menembusi pasaran antarabangsa pada 2015 dengan China menjadi destinasi eksport pertama, sebelum berkembang ke Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Brunei, Singapura dan Hong Kong.
“Kami ada lebih 30 produk keseluruhan seperti heong peah, biskut durian, keju dan gula bijan. Generasi pertama hanya ada kira-kira 10 jenis biskut, tetapi kini kami sudah berkembang jauh,” katanya.
Bagaimanapun, Pui Mun mengakui cabaran utama bagi generasi ketiga ialah membawa jenama lama itu keluar daripada persepsi sebagai biskut tradisional Cina.
“Loke Kee sudah ada sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lebih 10 tahun, kami juga memiliki standard keselamatan makanan antarabangsa seperti Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan pensijilan Sistem Keselamatan Makanan Global (FSSC 22000).
“Tetapi ramai masih melihat kami sebagai produk komuniti Cina sahaja. Cabaran kami ialah memastikan rakyat Malaysia semua kaum mengenali Loke Kee sebagai jenama warisan negara,” katanya.
Menurutnya, STeP memainkan peranan besar membantu Loke Kee terus berkembang terutama da lam akses pasaran luar dan sokongan kos penyertaan pameran antarabangsa.
“STeP bantu kami banyak, terutama subsidi kos penyertaan pameran. Baru-baru ini STeP bawa kami ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai, China yang berlangsung dari 5 hingga 10 November lalu dan mereka tanggung sebahagian besar kos penyertaan.
“Daripada pameran itu, kami dapat prospek pembeli dari Australia dan pengedar dari Fujian, China. Kami kini dalam rundingan dan bakal dimeterai dalam masa terdekat,” katanya.
Selain bantuan membuka rangkaian luar negara, STeP turut menyediakan platform mempertemukan syarikat tempatan dengan pembeli, pengedar dan rakan industri global.
Pui Mun berkata, sokongan STeP membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Melihat pasaran yang semakin berkembang, Pui Mun berkata syarikat merangka pelan strategik tiga hingga lima tahun akan datang, termasuk membangunkan lebih banyak perisa bercita rasa Malaysia seperti pandan, kelapa dan kaya.
“Kami juga bergerak ke arah pendigitalan melalui pemasaran media sosial serta strategi e-dagang, selain meningkatkan kekuatan jenama agar dikenali sebagai jenama warisan Malaysia dan memperluas eksport ke lebih banyak negara dengan kemampuan standard keselamatan makanan dan pengalaman puluhan tahun.
“Kami mahu membawa biskut Malaysia ke pentas dunia. Misi kami mudah menghormati warisan keluarga, tetapi pada masa sama membina jenama moden yang meraikan cita rasa Malaysia untuk seluruh dunia,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.