SUNGAI SIPUT: Lonjakan harga koko dunia membuka peluang baharu kepada komuniti Orang Asli di Kampung Kuala Mu, di sini, untuk menghidupkan kembali sektor pertanian penanaman koko.

Ketua Kelompok Penanam Koko Kuala Mu, Idlan Mazuan@Rani B Itam, 45, berkata ketika ini beliau menanam koko seluas 1 hektar daripada keseluruhan 8.1 hektar tanaman koko yang diusahakan komuniti Orang Asli di perkampungan di POS Kuala Mu, dalam daerah Kuala Kangsar.

Idlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Mu, berkata penanaman pokok koko di komuniti itu bermula sejak 2012 dan pernah mencatat keluasan sehingga melebihi 40.4 hektar.

Namun, jumlah itu berkurangan kepada kira-kira 8.1 hektar beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan kejatuhan harga koko.

“Sebelum ini di Kuala Mu penanaman koko membabitkan keluasan keseluruhan lebih 100 ekar (40.4 hektar) namun berkurangan kepada 20 ekar (8.1 hektar). Ketika harga koko mula naik sehingga mencecah RM40 sekilogram pada tahun lalu, penanaman koko di sini kembali meningkat.

“Harga koko sentiasa mengalami turun naik. Harganya sekitar RM20 sekilogram. Bagi komuniti kami, jika harga biji koko sekitar RM10 sekilogram pun ia tetap tinggi.

“Jadi berdasarkan harga semasa itu saya lihat mungkin setahun lagi penanaman koko di Kuala Mu dapat bergerak kepada 30 ekar (12.1hektar),” katanya kepada BH.

Menurutnya, kejatuhan harga koko sebelum ini menyebabkan bilangan penanaman koko di Kuala Mu sebelum tahun 2024 hanya 12 peserta, namun jumlah itu melonjak kepada 60 orang ketika ini susulan lonjakan harga komoditi berkenaan dan boleh meningkat sehingga 80 peserta dalam sedikit masa lagi.

Beliau berkata, selain Lembaga Koko Malaysia (LKM), komuniti penanam koko di Kuala Mu turut dibimbing Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) terutama dalam pembinaan sistem pengairan yang memerlukan kos tinggi bagi menghadapi musim kemarau, di samping bantuan input pertanian lain seperti baja dan anak pokok.

Idlan berharap kerajaan negeri mewujudkan dana khas untuk membantu pembangunan industri koko khususnya bagi komuniti Orang Asli, termasuk untuk mengupah pekerja dan melebarkan kawasan tanaman.

Beliau menekankan, Perak adalah negeri kedua terbanyak populasi Orang Asli selepas Pahang, dengan seramai 58,942 orang setakat Oktober lalu.

“Kami juga menghadapi cabaran kos pengangkutan biji koko ke pusat pemprosesan, selain cuaca hujan yang menyebabkan biji koko basah dan perlu dikeringkan terlebih dahulu.

“Saya pernah mencadangkan kepada JAKOA dan LKM supaya diwujudkan rumah pengeringan di setiap kelompok penanam koko di Kuala Mu dan POS Yum,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin, berkata masyarakat Orang Asli antara penyumbang utama pengeluaran koko di Semenanjung Malaysia, dengan kira-kira 100 keluarga terbabit.

LKM bersama JAKOA membuka pejabat berhampiran lokaliti Orang Asli, seperti di Pusat Sehenti OAOSC Bawong, untuk memantau perkembangan tanaman koko.

Melalui LKM, komuniti mendapat bantuan berupa insentif baja, racun perosak dan kursus permulaan bagi meningkatkan pengeluaran, selaras sasaran nilai eksport koko negara mencecah RM15.06 bilion pada 2025.

Perkembangan ini juga sejajar Pelan Perak Sejahtera 2030, cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, di bawah agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi, yang meletakkan JAKOA sebagai agensi peneraju flagship Santuni Orang Asli.

Pelan itu menekankan pembangunan sosial, mempelbagaikan sumber dalaman dan import melalui ‘niche’ sekuriti makanan.

Sumber: Berita Harian

en_USMalay