KUALA KANGSAR – Tanah pusaka keluarga yang dulunya sekadar peninggalan kini menjadi sumber inspirasi dan ekonomi apabila dimanfaatkan sepenuhnya oleh Raihan Shafiqah Ismail, untuk mengusahakan pertanian moden di kampung halaman.
Pengasas Nine Nursery ini memulakan perniagaan semaian pokok kopi Liberica enam tahun lalu di tanah pusaka seluas 0.4 hektar milik keluarga di Kampung Talang Hulu.
Tanah berkenaan kini menjadi nadi utama usahawan Raihan, 37, dalam menyediakan anak pokok kopi untuk penanaman sendiri dan pembekal kepada petani lain di Perak dan negeri sekitarnya.
Raihan berkata, modal permulaan yang dimiliki sekitar RM6,000 digunakan untuk menguruskan keperluan asas tapak semaian.
Dengan sumber sedia ada, dia membina kemudahan sendiri termasuk menebang buluh untuk tiang dan lantai.
“Tiada modal besar, tiada pengalaman dalam pertanian. Apa yang saya ada hanyalah minat dan keazaman untuk manfaatkan tanah pusaka keluarga.
“Saya percaya, kalau kita sabar dan serius dalam pertanian, hasilnya pasti besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Dengan bantuan Jabatan Pertanian Perak yang diterima tahun lalu, tapak semaian Raihan kini mampu menampung antara 20,000 hingga 30,000 anak pokok, berbanding kapasiti awal sebanyak 10,000 pokok sahaja.
Bantuan di bawah Program Pengeluaran Benih Tanaman Berkualiti berjumlah RM50,000 itu melibatkan infrasruktur sistem pengairan dan rumah pam serta struktur teduhan semaian berjaring yang meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Anak bongsu daripada sembilan beradik ini bersyukur, langkah nekad meninggalkan bidang asalnya iaitu kaunseling membawanya ke dunia pertanian, bidang yang langsung tidak pernah disentuh sebelum ini.
Kini, lepasan gaduan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya itu mampu tersenyum menyaksikan peningkatan permintaan mendadak terhadap anak pokok kopi tahun demi tahun.
Keadaan itu katanya, menjadikan tapak semaian miliknya tumpuan petani dari seluruh Perak termasuk daerah Hulu Perak, malah menerima tempahan daripada Pahang dengan permintaan mencecah ribuan anak pokok dalam satu pesanan.
“Kadang-kadang ada yang terus minta 2,000 atau 3,000 anak pokok. Isunya sekarang, kami kena tanam lebih banyak untuk penuhi keperluan, permintaan memang sangat tinggi,” katanya.
Raihan turut memandang positif penganjuran Seminar Kopi oleh Jabatan Pertanian Perak yang disifatkannya sebagai pemangkin penyatuan seluruh pemain industri daripada peringkat semaian hingga produk akhir.
Memperluas rantaian nilai, beliau bekerjasama dengan usahawan tempatan menghasilkan produk akhir seperti biskut berasaskan kopi, sebagai usaha mempelbagaikan potensi komersial tanaman tersebut.
Baginya, industri kopi Perak berada pada landasan tepat untuk menjadi sumber ekonomi baharu sepertimana pernah dihasratkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Usaha dilakukan Raihan ini menjadi satu lagi contoh kejayaan belia tani, seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030 memperkasa sektor tanaman bernilai tinggi.
Sumber: Sinar Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.