TAIPING: Bantuan bimbingan dan geran daripada dua agensi kerajaan negeri diakui menjadi bekal seterusnya melonjakkan pendapatan usahawan asnaf, Norul Hazra Abd Rahman, 41, yang sehingga kini menjalankan khidmat rawatan spa dan kecantikan wajah termasuk secara bergerak sejak 20 tahun lalu.

Hazra Beauty Spa & Salon Muslimah diusahakannya di Simpang di sini, bukan sahaja menawarkan khidmat rawatan kecantikan wajah, bahkan mengembangkan skop perusahaan kepada pembuatan jamu kecantikan berbentuk minuman herba tradisional serta majun buatan dari rumah.

Lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang terapi spa itu berkata, sebelum mendirikan rumahtangga pada 2017, cabaran dihadapinya adalah hampir semua bantuan dipohon, ditolak selain larangan beroperasi selama beberapa bulan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

Menceritakan perjalanannya dalam dunia rawatan kecantikan, Norul Hazra berkata, ia bermula 10 tahun lebih awal apabila bekerja makan gaji di pusat rawatan kecantikan lain, sebelum membuka premis perniagaan sendiri.

Norul Hazra menyifatkan rezekinya bertambah selepas mendirikan rumah tangga bersama suami yang bekerja kampung, termasuk terpilih menyertai latihan bimbingan keusahawanan Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) kendalian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2019 selama tiga bulan.

Beliau berkata, bantuan menerusi Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku agensi kerajaan negeri berjumlah RM2,000 diterima pada 2023 pula, diakui membantunya untuk mengembangkan perusahaan spa serta salon muslimahnya.

“Melalui Proper A MAIPk bantuan kira-kira RM5,000 itu saya terima dalam bentuk seperti perkakasan katil bagi mengendalikan rawatan muka, peralatan sauna, katil bagi cucian rambut dan lain-lain yang memudahkan saya terus mengendalikan salon.

“Bantuan GeRAK daripada STeP selaku agensi kerajaan negeri berperanan menyelaras, melaksana dan memantau dasar serta program perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) itu, membantu selain perbelanjaan sendiri saya keluarkan termasuk melalui pinjaman daripada bapa saudara berjumlah RM3,000.

“Bantuan STeP itu saya gunakan bagi membeli empat mesin berkaitan rawatan wajah biarpun saya juga perlu menambah sedikit perbelanjaan sendiri memandangkan harga mesin itu melebihi nilai geran disediakan,” katanya kepada BH.

Mengusahakan spa secara bersendirian, Norul Hazra berkata, tumpuan kini diberikannya lebih kepada khidmat penjagaan muka biarpun spanya juga menawarkan khidmat lain antaranya urutan tradisional dan urutan selepas bersalin.

Katanya, ia susulan keadaan diri masih lemah susulan menjalani pembedahan akibat mengandung luar rahim pada Mac tahun lalu hingga terpaksa menghentikan sementara operasi premisnya selama sembilan bulan sebelum membuka kembali operasi pada Januari lalu.

Menurutnya, skop perusahaan kini berkembang kepada pembuatan jamu kecantikan juga adalah sebagai imbalan bagi perkhidmatan urutan yang tidak dapat dilakukan sementara waktu susulan tahap kesihatannya ketika ini, iaitu selain daripada khidmat rawatan muka.

“Spa ini kembali dibuka selepas ditutup beberapa bulan sejak saya menjalani pembedahan. Susulan pembedahan itu, keadaan saya agak lemah hingga terpaksa ditidurkan, malah doktor pada waktu itu menjangkakan usia saya tidak panjang.

“Saya beransur pulih namun doktor menasihati saya agar tidak lakukan kerja berat memandangkan perlukan masa untuk kembali pulih sepenuhnya. Disebabkan itu saya kembali membuka spa namun fokus kepada rawatan kecantikan muka,” katanya.

MAIPk dan STeP diletakkan sebagai antara agensi pelaksana kepada agenda ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ di bawah andalan atau ‘flagship’ Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti dicatatkan menerusi pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian

en_USMalay