Ipoh: Siapa sangka, wanita muda berusia 31 tahun ini pemilik syarikat snek sihat yang bukan sahaja digemari rakyat tempatan malah sudah menembusi pasaran luar negara termasuk Taiwan, Hong Kong, Singapura, Brunei dan New Zealand.
Pengarah Corn World Product Food Manufacturing Sdn Bhd, Yanice Cheong Ming Yan berkata, perjalanan membina perniagaan itu bermula dari rumah ketika dia berusia 17 tahun.
Menurutnya, idea menghasilkan snek vegetarian tercetus daripada budaya keluarga yang menetapkan hari pertama dalam setiap bulan, hanya dibolehkan makan makanan berasaskan tumbuhan, manakala daging dilarang.
“Jadi, saya buat snek rumpai laut dan keropok ubi keledek yang boleh dikongsi bersama keluarga dan jiran.
“Lama-kelamaan, kami sedar ada permintaan yang memberangsangkan dari komuniti, jadi kami hasilkan lebih banyak snek rumpai laut dan keropok ubi keledek dari untuk dijual kepada pemborong di pasar harian.
“Ia kemudiannya menjadi perniagaan keluarga yang diuruskan ibu, sementara saya tamatkan pengajian Ijazah Sarjana Rekabentuk Produk, Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.
Sebaik bergraduasi pada 2018, Yanice mengambil alih perniagaan keluarga yang ketika itu sudah menyewa sebuah kilang pemprosesan makanan di Tasek, Ipoh bagi memenuhi permintaan domestik sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Johor.
Bagaimanapun, kejayaan dicapai hari ini adalah hasil keberanian mengharungi detik getir, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hampir meranapkan perniagaan mereka.
“Ketika PKP, kilang kami dibenarkan beroperasi kerana kategori makanan, tetapi pelanggan kami tidak boleh beroperasi. Jualan merudum dan kami buntu bagaimana hendak bayar gaji pekerja.
“Ketika itu kami mengambil keputusan mengubah strategi perniagaan dengan memberi fokus kepada pembungkusan eksport untuk memasuki pasaran luar negara.
“Kami hasilkan pembungkusan baharu yang boleh bertahan sehingga 15 bulan. Dari situlah jenama Snackiss lahir secara rasmi, supaya produk kami memenuhi piawaian eksport,” katanya.
Yanice berkata, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) banyak membantu mengukuhkan kedudukannya di pasaran antarabangsa.
“STeP bagi kami ruang pameran secara percuma di Brunei tahun ini. Dari situ kami dapat tandatangan kontrak lebih besar dengan pengedar luar negara. Mereka lebih yakin apabila lihat kerajaan negeri sendiri menyokong produk kami,” katanya.
Sokongan STeP membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Selain STeP, katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) turut memberi peluang menyertai ekspo perdagangan di China, sekali gus membuka laluan untuk memasuki pasaran negara itu tidak lama lagi.
Walaupun semakin dikenali di luar negara, Yanice berkata, pasaran domestik tetap menjadi tumpuan utama.
“Kira-kira 70 peratus pengeluaran kami adalah untuk Malaysia, manakala 30 peratus lagi dieksport dalam lima kontena ke luar negara.
“Snackiss bukan snek kosong. Kami mahu mengubah cara rakyat Malaysia menikmati snek dengan pilihan lebih sihat berasaskan tumbuhan, tinggi serat dan menggunajan bahan berkualiti,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2025. Hak cipta terpelihara.