IPOH – Keupayaan lima kakitangan Kolej Komuniti (KK) Pasir Salak menghasilkan sistem kawalan kebocoran gas peralatan penyejukan pertama seumpamanya di negeri ini melayakkan mereka diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau.
Kejayaan manis itu diterima sempena Majlis Anugerah Inovasi Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Inovasi yang dinamakan Smart Leakage Control System (SLCS) itu dibangunkan oleh kumpulan dianggotai Muhamad Asrul Affendi Mat Nor, Farah Waheda Othman, Muhammad Ibrahim Mohd Aminuddin, Nurhan Ayub dan Asmarul Shazila Adnan.
Menurut Muhamad Asrul Affendi, idea menghasilkan teknologi tersebut bermula daripada kebimbangan terhadap kadar penipisan lapisan ozon yang semakin meruncing akibat pelepasan gas pendingin hawa yang bocor ke atmosfera.
“Sektor penyaman udara merupakan antara penyumbang utama pelepasan gas hidrofl uorokarbon (HFC) dan pencemaran udara yang menyumbang kepada perubahan iklim.
“Apabila berlaku kebocoran gas pada penyaman udara sebagai contoh, gas itu biasanya terlepas ke udara, dalam jangka masa panjang menyebabkan lapisan ozon semakin menipis. Daripada situ kami fikirkan bagaimana untuk mengurangkan kesan itu daripada berlaku.
“SLCS dibina untuk menjadi sistem keselamatan dalaman. Jika berlaku kebocoran, gas yang sepatutnya keluar secara bebas akan disimpan semula dalam unit pendingin hawa. Ini bagi mengelakkan pelepasan total gas ke udara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SLCS turut dilengkapi ciri pemantauan pintar dengan integrasi telefon pintar membolehkan pengguna menerima makluman awal sekiranya terdapat kebocoran atau kerosakan pada unit penyaman udara.
“Kita namakan ia ‘smart’ kerana ia bukan hanya bertindak pada saat kebocoran tetapi mampu memantau keseluruhan sistem.
“Jika ada masalah, pengguna akan dapat notifi kasi awal melalui aplikasi mudah alih,” katanya yang merupakan pensyarah di KK Pasir Salak.
Beliau menambah, sistem itu dibangunkan dalam tempoh lima hingga enam tahun melalui beberapa fasa termasuk pembangunan perkakasan, ujian kebocoran, pengukuran keluaran gas dan penambahbaikan berterusan.
Ditanya mengenai potensi pasaran, Muhamad Asrul Affendi mengakui pihaknya berhasrat mengkomersialkan SLCS kerana ia mempunyai nilai penggunaan yang sangat luas terutama dengan peningkatan penggunaan pendingin hawa di kediaman dan bangunan komersial.
“Kami berharap ada syarikat pengeluar yang sudi bekerjasama untuk menjadikan SLCS sebahagian daripada standard pemasangan unit pendingin hawa pada masa depan,” katanya.
Muhamad Asrul turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kolej Komuniti Pasir Salak atas sokongan dalam membangunkan inovasi tersebut di bawah program Smart Green Building yang memfokuskan pembinaan bangunan rendah karbon dan mesra alam.
Dengan kejayaan berkenaan, kumpulan tersebut membawa pulang hadiah berupa trofi, sijil serta wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, inovasi yang dihasilkan juga dilihat seiring dengan Agenda Teknologi Hijau di bawah Flagship Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu yang terkandung dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
Sumber: Sinar Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.