IPOH: Sembilan tahun sebagai perantauan dan berkhidmat selaku helper atau pekerja am di pelantar minyak, Badrul Hisyam Ahmad, 28, kini bergelar tenaga pengajar bagi syarikat penyedia khidmat latihan industri dan pendidikan kemahiran di negeri sendiri.
Beliau kini bertugas di Pusat latihan Jadi Potensi Sdn Bhd di Batu Gajah yang menyediakan latihan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya berkaitan penyelenggaraan automotif, pendawaian elektrik domestik dan penyelenggaraan penyaman udara kenderaan.
Menceritakan perjalanan kerjayanya, Badrul Hisyam berkata, dia mula merantau untuk mencari rezeki ke Pengerang, Johor sejurus habis menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 10 tahun lalu dan berkhidmat sebagai pekerja am di sana sehingga sekitar tahun 2019.
Menurutnya, dia menyertai latihan TVET bagi Program Latihan Modular Industri bagi Kimpalan Arka Gas Tungsten anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) beberapa ketika, setelah melihat potensi untuk pergi lebih jauh dalam bidang minyak dan gas berbanding jawatannya, pekerja am.
“Penyelia saya kata, kalau ada sijil, peluang naik pangkat lebih cerah. Jadi saya ambil Sijil Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), kemudian ikut kursus kimpalan 12 hari tajaan PASAK di Proweld Training Centre (PWTC).
“Kebetulan kontrak kerja saya di Pengerang tamat, saya terus sertai kursus itu dan selepas tamat, saya ditempatkan bekerja sebagai welding inspector (pemeriksa kimpalan) di sebuah kilang di Manjung.
“Tidak lama kemudian, PWTC hubungi saya kerana mereka perlukan tenaga pengajar kimpalan. Saya kemudian sambung ambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kerana itu sebahagian daripada syarat jadi tenaga pengajar,” katanya kepada BH.
Menurutnya, pengumuman kerajaan bahawa Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bakal membangunkan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut, Manjung yang akan memerlukan kepada sekurang-kurangnya 3,000 pekerja mahir dalam bidang kimpalan sangat disambut baik.
Katanya, tidak seperti dirinya sebelum ini yang perlu merantau keluar dari Perak untuk berpeluang menceburi industri minyak dan gas (O&G).
Kini, golongan belia khususnya anak muda di Perak boleh merebut peluang itu dengan mendalami kemahiran berkaitan kimpalan di negeri asal sendiri.
“Saya serta rakan satu ‘batch’ (kumpulan peserta) yang menyertai kursus kimpalan PASAK sudah tentu gembira dengan pengumuman kerajaan itu kerana ia menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang kami ceburi itu.
“Bezanya, kalau dahulu kami perlu merantau jauh untuk mendapat peluang pekerjaan dalam bidang kimpalan sebegitu, sekarang ia hanya dalam negeri Perak sahaja, justeru orang muda seharusnya merebut peluang pekerjaan ini yang menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meletakkan inisiatif menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin, terutama menerusi beberapa projek mega berimpak tinggi termasuk pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung.
Pelan pembangunan sama turut meletakkan flagship (andalan) Koridor TVET Malaysia yang meletakkan TVET sebagai pemacu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berpotensi menembusi pasaran pekerjaan dan memenuhi permintaan industri, dengan PASAK sebagai antara agensi yang menerajuinya.
Sumber: Berita Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.