Gopeng: Penubuhan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) di sini, sebagai makmal analisis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) komersial pertama di Malaysia, menjadikan Perak sebagai pemacu transformasi dalam ekosistem analisis mineral negara.

Pengarah TML, Ts. Zul Helmi Ghazali berkata, penubuhan makmal ini pada Oktober tahun lalu bukan sekadar memenuhi keperluan teknikal negara, malah memainkan peranan strategik dalam industri elemen unsur nadir bumi (REE) yang semakin kritikal dalam sektor teknologi moden.

“TML menawarkan perkhidmatan analisis mineral komprehensif yang merangkumi pelbagai jenis sampel daripada tanah, batuan, kaolin, silika hinggalah mineral bernilai tinggi dengan pendekatan holistik yang membolehkan industri tempatan mendapat data tepat dan boleh dipercayai tanpa bergantung pada makmal luar negara.

“TML kini beroperasi dengan tiga peralatan bertaraf antarabangsa iaitu Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Flourescense (WDXRF) dan Micro X-Ray Fluorescense (Micro-XRF) yang meningkatkan ketepatan hasil analisis.

“Pelaburan dalam teknologi ini menjadikan TML setanding dengan makmal terkemuka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Lebih membanggakan, katanya, TML juga berfungsi sebagai pusat rujukan utama pembangunan metodologi analisis REE dan memberi sokongan teknikal kepada kerajaan negeri, sektor industri dan institusi penyelidikan.

Ini menjadikan TML bukan sekadar penyedia perkhidmatan, tetapi juga pemangkin pembangunan ekosistem REE Malaysia yang konsisten dan berdaya saing.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan badan berkepakaran tinggi seperti MIMOS Berhad, Agensi Nuklear Malaysia dan universiti tempatan termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bagi memastikan kemampanan jangka panjang, TML turut melabur dalam pembangunan modal insan melalui latihan ahli kimia ke Jepun, Australia, Singapura dan Jerman, membolehkan mereka terus menguasai teknologi analisis mineral terkini,” katanya.

Zul Helmi berkata, antara kejayaan terbaharu TML ialah pemilihan sebagai satu daripada empat makmal di Malaysia untuk menyertai ISO WD 19456 Round Robin Project yang turut melibatkan enam makmal antarabangsa.

“Projek ini bertujuan menyelaraskan standard kaedah analisis REE menggunakan teknik ICP-MS ke arah pencapaian piawaian global yang seragam.

“Penyertaan TML membuktikan kecekapan teknikal dan kredibiliti saintifik kami di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, TML juga berjaya membangunkan beberapa metodologi analisis tersuai hasil kerjasama dengan pemain industri utama, termasuk analisis sampel merentasi pelbagai negeri dan jenis mineral.

Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan TML sebagai rakan teknikal strategik yang bukan sahaja fleksibel dan inovatif, malah berupaya memberikan penyelesaian holistik mengikut keperluan spesifik industri.

“Keseluruhannya, TML membuktikan bahawa kami bukan lagi sekadar makmal analisis konvensional, sebaliknya sebuah institusi penting dalam memajukan sektor perlombongan dan penyelidikan mineral negara ke tahap lebih canggih dan kompetitif di peringkat global,” katanya.

Pengoperasian TML adalah langkah strategik kerajaan negeri merealisasikan agenda Perlombongan Bertanggungjawab seperti digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dihasratkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani  Mohamad.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay