Kuala Kangsar: Sebagai pewaris generasi ketiga seni tekat tradisional Perak, Mardziah Abu Kassim, 54, menggalas amanah besar untuk memastikan warisan keluarganya tidak luput ditelan zaman.

Seni tekat di tangannya bukan sekadar benang emas di atas kain baldu, tetapi menjelma menjadi pelbagai produk eksklusif seperti set cadar pengantin, sarung bantal, kusyen, kasut dan hiasan pelamin tradisional yang menjadi buruan ramai.

Anak jati Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan itu berkata, kemahiran itu diwarisi daripada ibunya, Azizah Mohd Yusof, yang juga Adiguru Kraf Tekat, pengiktirafan diberikan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Saya mula belajar kemahiran melukis, menebuk empulur dan menekat ketika membantu ibu mengusahakan produk tekat di rumah kami sekitar 80-an.

“Keistimewaan hasil tangan kami terletak pada keupayaan menggubah reka corak berunsurkan motif flora klasik.

“Antara motif yang sering menjadi pilihan pelanggan termasuklah paku pakis, pucuk rebung, sulur bayung, bunga-bunga padi, anggerik, bunga raya, kemboja dan mawar, selain corak awan larat serta tulisan khat yang digubah indah menjadikan setiap karya unik,” katanya.

Bukan calang-calang, hasil seni Mardziah pernah menghiasi pentarakna Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara lama.

Malahan, beliau turut dipilih mewakili negara apabila pelamin tradisional Perak hasil karyanya diterbangkan untuk pameran kebudayaan di Busan, Korea Selatan.

Kini, ibu kepada enam cahaya mata ini meneruskan legasi di bawah syarikatnya, Gesa Emas Enterprise yang beroperasi di Jalan Nakhoda, di sini.

Katanya, permintaan terhadap seni tekat tidak pernah surut, terutamanya untuk majlis istimewa seperti perkahwinan, adat cukur jambul dan anak naik buaian.

Menyedari peredaran zaman, Mardziah kini turut memasarkan produknya di platform e-dagang seperti MyCrafShoppe bagi memudahkan pelanggan dari seluruh negara untuk membuat tempahan.

“Kalau untuk satu set cadar tekat tangan, ia boleh ambil masa sehingga tiga minggu untuk disiapkan.

“Kami juga ada sediakan pilihan sulaman mesin di premis kami untuk mereka yang mahukan harga lebih berpatutan dan cepat siap,” katanya.

Hasil usahanya itu membolehkan beliau meraih pendapatan yang boleh dibanggakan, iaitu antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan, malah boleh mencecah lebih tinggi jika ada acara atau tempahan besar.

Pada 2023 lalu, beliau turut membantu dalam penghasilan buku Seni Tekat Perak: Kreativiti Kearifan Lokal terbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyentuh tentang aspek sejarah, kearifan lokal, falsafah terhadap motif alam dan eksplorasi terhadap kreativiti seni tekat.

Terbaharu, usahanya mendapat perhatian agensi kerajaan negeri Perak, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), yang memberikannya peluang untuk mempromosikan seni tekat di reruai percuma sempena Karnival Mega 3 Dimensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Peluang ini amat saya hargai kerana ia bukan sahaja membuka pasaran baharu, tetapi juga memberi pendedahan kepada generasi muda bahawa seni tekat ini masih hidup dan terus diwarisi,” katanya.

Sokongan STeP membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay