Kuala Kangsar: Usianya baru 23 tahun, namun kecekalan dan semangat juang Noor Amyra Zulkefli menjadikan dirinya antara usahawan muda desa yang berjaya mengembangkan perniagaan keluarga hingga dikenali ke seluruh negara.

Anak kelahiran Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau itu kini menguruskan ABZ D Dusun Enterprise, perusahaan rempeyek tradisional hasil air tangan ibunya, Maniza Ahmad, 51, yang mula beroperasi di dapur rumah ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurut Amyra, idea memulakan perniagaan rempeyek tercetus apabila ibunya yang juga jurulatih tari di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak dapat keluar mengajar ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu itu mama cuma ada modal permulaan RM200, hasil bantuan seorang rakan. “Jadi mama cuba buat rempeyek dan jual di sekitar kampung untuk tampung keperluan keluarga,” katanya.

Graduan Diploma Sains Perikanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, selepas menamatkan pengajian pada 2022, dia mengambil keputusan untuk tidak bekerja makan gaji, sebaliknya menyambung usaha ibunya secara lebih serius.

Dia kemudiannya mendaftar perniagaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2023 kerana melihat potensi besar produk tradisional itu.

“Sepanjang empat tahun, kami melakukan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk menambah baik resipi asal.

“Resepi ini asalnya daripada mama, tapi kami perbaiki berdasarkan maklum balas pelanggan, ada yang kata kurang rangup, kurang rempah, jadi kami ubah sampai dapat rasa terbaik.

“Sekarang, kami hasilkan empat jenis rempeyek iaitu kacang tanah, kacang hijau, kacang dal dan ikan bilis,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, permulaan perniagaan mereka sangat mencabar di mana hanya mampu menghasilkan 20 balang sehari dengan bantuan dua pekerja dan peralatan terhad di dapur luar rumah.

Namun, nasib mereka mula berubah selepas menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi kerajaan negeri.

“Pada Mei tahun lalu, kami dapat bantuan kedai daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang dibina di halaman rumah.

“Tahun ini pula, Jabatan Pertanian Perak beri geran RM30,000 untuk naik taraf bangunan tadi dengan penambahan bengkel yang lebih luas dan selesa, lengkap dengan ruang memasak dan pembungkusan.

“Selain itu, saya baru lulus program Agropreneur Muda Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan dapat bantuan RM20,000 untuk beli peralatan dapur seperti ketuhar, mesin pengadun dan dapur gas industri,” katanya.

Menurutnya, bantuan itu bukan sekadar memudahkan urusan pengeluaran, malah melonjak kapasiti perniagaan mereka sehingga kini mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 150 balang sehari, berbanding 20 balang pada awalnya.

“Sekarang kami beroperasi setiap hari kecuali Ahad dan mempunyai enam pekerja tetap.

“Pada bulan Ramadan, permintaan melonjak berkali ganda dan kami boleh mengupah 16 pekerja, sekali gus menyedia peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

“Kini, produk rempeyek kami berjaya menembusi pasaran sembilan negeri di Semenanjung Malaysia dengan ejen dan stokis aktif di setiap negeri,” katanya.

Dia berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak dan Mardi selaku agensi peneraju agenda Keterjaminan Makanan seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Berkongsi perancangan masa hadapan, Amyra berkata mereka kini dalam proses menaik taraf bengkel untuk mendapatkan pensijilan Halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) sebagai persediaan meluaskan pasaran ke peringkat nasional.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay