Kuala Kangsar: Siapa sangka, seorang penjawat awam mampu meraih pendapatan sampingan mencecah empat angka sebulan, bukan dengan perniagaan dalam talian, tetapi menerusi inovasi dalam bidang pertanian.
Mohamad Kamal Noh Safiee, 40, yang masih bertugas di Kementerian Kesihatan membuktikan bahawa sektor pertanian bukan lagi bidang yang ketinggalan zaman, sebaliknya mampu memberikan pulangan jika diuruskan dengan kaedah moden.
Beliau yang berasal dari Kampung Geliong, di sini, meneruskan legasi perniagaan pusat semaian buah-buahan tropika milik ibu bapanya sejak mula berkecimpung dalam bidang ini pada 2016.
“Asalnya perniagaan anak pokok buah tropika seperti jambu batu, durian, rambutan, cempedak, nangka, limau kasturi dan limau nipis daripada ibu bapa. Saya meneruskan legasi keluarga, tetapi saya banyak inovasikan perniagaan ini.
“Bila masuk ke zaman era saya, kita cuba ubah kaedah konvensional untuk mengurangkan tenaga kerja dan memudahkan urusan,” katanya.
Antara inovasi utama yang diperkenalkannya ialah kaedah ‘pembajaan tepat’, di mana beliau mengkaji peratusan baja yang diperlukan oleh pokok dalam polibeg untuk kekal subur.
“Saya lihat kualiti tumbuhan jualan ibu bapa saya tidak konsisten, banyak pokok tak subur. Jadi, saya mendapat khidmat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Felcra Plantation yang ada makmal lengkap dan kepakaran untuk mengkaji penggunaan baja bio-organik,” kata bapa lima anak itu.
Selain pusat semaian, Mohamad Kamal turut mengusahakan tanaman durian klon komersial, termasuk Musang King yang pokok induknya ditanam oleh bapanya pada 2014.
“Kalau satu pokok durian Musang King, kita dapat hasil dalam RM3,500. Tolak kos pekerja RM1,000, untung bersih kita ada RM2,500. Darab dengan berapa pokok yang kita ada,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan perundingan kebun sejak 2019.
Namun, beliau mengakui cabaran terbesar adalah untuk menstabilkan kos penyelenggaraan ladang dan isu harga lantai hasil pertanian yang sering dimainkan orang tengah.
“Alhamdulillah, usaha saya mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) banyak membantu dengan menyalurkan tiga geran bernilai keseluruhan RM60,000.
“Saya manfaatkan geran pertama untuk pusat semaian, geran kedua untuk membeli mesin pemprosesan produk tanah campuran, manakala geran ketiga saya fokuskan kepada label dan pemasaran tanah campuran,” katanya.
Beliau menambah, Jabatan Pertanian Perak juga tidak ketinggalan dalam memberikan sokongan menerusi geran RM50,000 untuk pembangunan rumah hijau dan bantuan input pertanian hampir RM20,000 pada dua tahun lalu.
“Lebih membanggakan pada 2023, Jabatan Pertanian menganugerahkan pensijilan MyGAP, satu pengiktirafan bahawa ladang durian saya selamat dan berkualiti selepas melalui proses audit, sekaligus keyakinan pelanggan terhadap hasil durian,” katanya.
Beliau berkata, bantuan dan pengiktirafan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Harian Metro