Ipoh: Siapa sangka wanita semuda 30 tahun ini sebenarnya pemilik perniagaan sambal bilis petai yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei dan Singapura.
Perjalanan Dayang Nurjannah Awang Iskanderdzulkarnein dari Ampang di sini, tidak semudah disangka kerana kejayaan itu hanya dicapai selepas 11 tahun berkecimpung dalam perniagaan produk makanan yang pasti ada jatuh bangun.
Ibu tiga anak itu berkata, sebelum ini, dia pernah mengusahakan produk bakeri dan pastri seperti kek, brownies, tart dan cream puff bermula dari rumah, kemudian beralih ke lot kedai sebelum berkeupayaan menyewa kilang pemprosesan makanan di Ulu Kinta, di sini.
Menurutnya, idea untuk bertukar daripada perniagaan berasaskan pastri kepada sambal tercetus apabila dia berdepan cabaran untuk mengeksport produk bakeri ke luar negara selepas menyertai beberapa ekspo antarabangsa di Tunisia, Perancis dan New Zealand beberapa tahun lalu.
“Permintaan terhadap produk bakeri memang ada, tetapi ada kekangan dari segi logistik. Kek tidak tahan lama dan kos untuk menggunakan kargo sejuk beku pula terlalu tinggi. “Saya fikir produk apa yang tahan lama dan sentiasa mendapat permintaan. Hal itu membuatkan saya nekad mencuba perniagaan sambal memandangkan produk ini sentiasa dicari oleh pelancong asing,” katanya.
Dayang berkata, berkat sokongan suami tercinta, Muhamad Affiq Aiman Mohd Zani, 31, dan keluarga, dia melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama empat tahun bagi menghasilkan formula sambal yang sempurna.
Katanya, hasil R&D yang teliti, jenama Sambal Tokyan kini memasarkan tujuh jenis sambal yang direka khas agar tidak terlalu pedas dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga.
Tujuh produk sambal itu adalah Sambal Tempoyak Petai dan Bilis, Sambal Tempoyak Manis dan Bilis, Sambal Hijau Bilis dan Petai, Sambal Hijau Ikan Bilis, Sambal Terasi, Sambal Ledak Ikan Masin dan Sambal Nasi Lemak.
Dayang berkata, dia mahu semua orang termasuk bukan penggemar makanan pedas sepertinya, berpeluang menikmati keenakan sambal buatan Malaysia tanpa risau terhadap tahap kepedasan sajian tradisi itu.
“Saya bawa Sambal Tokyan yang pertama ke arena antarabangsa menerusi peluang diberikan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) kepada saya sebagai pempamer acara ekspo di Singapura pada September tahun lalu. Peluang itu saya manfaatkan bertemu dengan pihak pengedar dari serata negara ASEAN.
“Kini, Sambal Tokyan berjaya menembusi pasaran Brunei dan berada di sembilan cawangan pasar raya di sana sejak Julai lalu, dengan penghantaran sebanyak 5,000 botol setiap tiga minggu. Pasaran Singapura pula dijangka akan dimasuki pada awal tahun hadapan.
“Bagi pasaran tempatan, Sambal Tokyan dalam proses memasuki rangkaian pasar raya besar seperti Aeon dan Lotus, selain menyasarkan pasar raya utama di negeri kelahiran saya di Sarawak,” katanya.
Dayang berkata, inisiatif SteP dalam menyokong usahawan sepertinya membuktikan komitmen agensi itu sebagai peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti dihasratkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Berkongsi perancangan masa hadapan, Dayang menyasarkan untuk memasarkan Sambal Tokyan ke New Zealand, Jepun, China dan United Kingdom, di samping memperluaskan perkhidmatan pembuatan produk tulen (OEM) untuk jenama lain.
Sumber: Harian Metro

© 2025. Hak cipta terpelihara.