BAGAN DATUK – Siapa sangka sebuah rumah yang dibina secara terbalik menjadi antara tarikan pelancongan baharu yang kian mendapat sambutan di Bagan Datuk, hasil inisiatif anak jati tempatan yang mahu memajukan kampung halaman sendiri.

Zulkifle Tajul Arus, 63, yang merupakan pemilik Rumah Terbalik Bagan Datuk berkata, idea berkenaan tercetus selepas menamatkan operasi rumah terbalik yang diusahakan di Langkawi.

Menurutnya, pengoperasian Rumah Terbalik yang diusahakan di pulau peranginan itu selama empat tahun sebelum ini terpaksa dihentikan akibat beban kos sewaan yang tinggi.

“Apabila saya pulang ke kampung, saya nampak banyak perubahan sejak adanya jambatan baharu. Jadi saya terfi kir untuk membina Rumah Terbalik.

“Saya pilih Bagan Datuk kerana di sinilah kampung saya, di Sungai Ular. Kosnya lebih rendah dan saya memang mahu bantu bangunkan sektor pelancongan di sini sebab tak banyak tarikan baharu,” katanya kepada Sinar Harian.

Rumah Terbalik yang dibuka sejak enam bulan lalu, terletak di dalam Kompleks Pelancongan Bagan Datuk dan mula mencuri tumpuan pelancong, khususnya hujung minggu serta cuti umum.

Menurut Zulkifle, pembukaan Jambatan Sultan Nazrin Shah dan sambungan ke Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dilihat memberi kesan besar terhadap kemasukan pengunjung ke daerah itu.

“Kalau hari biasa memang agak lengang, tapi Sabtu, Ahad dan cuti umum boleh cecah 300 hingga 500 pengunjung. Saya nampak perubahannya sangat ketara sejak ada jambatan dan WCE ini,” katanya.

Tambahnya, rumah berkeluasan 40×25 kaki itu menampilkan konsep rumah kampung Melayu lengkap dengan perabot yang dipasang terbalik dan boleh memuatkan sekitar 35 orang pada satu-satu masa.

Menurutnya, Rumah Terbalik itu dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kadar bayaran masuk RM10 untuk dewasa dan RM5 bagi kanakkanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

Jelas Zulkiflie, masa depan Bagan Datuk amat cerah sekiranya pembangunan infrastruktur dan industri diteruskan secara berterusan.

“Dulu Bagan Datuk ini orang ibaratkan macam pekan mati. Tapi sekarang berada di tengah antara Pulau Pinang dan Selangor. Homestay pun makin banyak, jaringan pun makin besar. “Saya yakin dalam masa 10 tahun, Bagan Datuk akan jadi kawasan pesat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifl e yang dibantu isterinya, Aniza Mohd Husar, 57, turut berkongsi impiannya untuk menambah satu lagi tarikan baharu di daerah itu jika mempunyai modal atau rakan kongsi.

Sementara itu, menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, daerah Bagan Datuk tertumpu dalam pelancongan pesisir pantai dan sektor maritim Wilayah Perak Selatan.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay