Manjung: Siapa sangka, seorang bekas pegawai khas kepada menteri kewangan kini beralih arah menjadi usahawan tani yang berjaya, mengusahakan ladang nanas MD2 seluas 36 ekar di sekitar daerah ini.

Bagi Ting Tai Fook, 41, perjalanan beliau dalam dunia pertanian bukanlah mudah, sebaliknya penuh dengan cabaran getir yang menguji ketahanan mental dan fizikal.

Anak jati Setiawan itu berkata, semuanya bermula pada September 2018 apabila beliau mengambil keputusan untuk menceburi bidang pertanian selepas tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan.

“Pada permulaannya, saya ingin usahakan ternakan lembu tenusu, jadi saya mula cari tanah dan ditawarkan di Kulai, Johor. Tapi sebab kami dari Setiawan, jadi kami fikir jauhlah.

“Akhirnya, saya dapat kenal pasti tanah di Kampung Selamat, Setiawan. Jadi kita mulakan dengan enam ekar nanas MD2,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, nanas dipilih kerana ia adalah salah satu daripada dua tanaman yang digalakkan oleh kerajaan ketika itu sebagai sumber kekayaan baharu negara, selain durian Musang King.

Namun, cabaran sebenar bermula selepas 100,000 pokok nanas ditanam, apabila kebunnya dilanda banjir besar akibat hujan tanpa henti.

“Yang kami tak sangka, selepas kami tanam 100,000 pokok, hujan turun tanpa henti hari-hari. Lepas seminggu, kebun kami banjir habis.

“Rupanya tanah yang kami sewa itu selalu banjir. Itu menyebabkan kerugian besarlah sebab satu benih masa itu RM1.20. Hampir 30,000 lebih pokok kami reput dan terpaksa dibuang,” katanya.

Tidak mahu mengalah, beliau bersama 10 pekerjanya terpaksa menggunakan cangkul selama dua bulan tanpa henti untuk menggali longkang baharu kerana jentera berat tidak dapat masuk ke kawasan tanaman.

Selain cabaran cuaca, Tai Fook turut berdepan masalah aliran tunai kerana nanas mengambil masa 15 bulan untuk mengeluarkan hasil, selain kesukaran mendapatkan pembiayaan bank kerana syarikatnya masih baru.

“Untuk mendapatkan tunai, kami terpaksa tanam tanaman kontan seperti betik, jagung, dan bendi sementara menunggu hasil nanas,” katanya.

Beliau berkata, berkat kesabaran dan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan, perniagaannya kini semakin berkembang.

“Kami dapat bantuan benih daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Jabatan Pertanian Perak pula banyak memberi khidmat nasihat teknikal, manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu membeli hasil tanaman kami pada peringkat awal.

“Disebabkan kami komited dengan pengurusan berkualiti dan mempunyai sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), saya pun minta FAMA naikkan harga sikit untuk pekebun yang ada sijil ini bagi menggalakkan amalan pertanian baik,” katanya.

Beliau berkata, bantuan dan pengiktirafan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kini, selain menjual buah segar, Tai Fook turut menghasilkan pelbagai produk hiliran seperti jus, jem, coklat dan cuka nanas yang diproses di kilangnya sendiri di Setiawan yang memiliki pensijilan ISO 22000, persijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Good Manufacturing Practise (GMP) dan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Lebih membanggakan, syarikatnya kini turut diiktiraf sebagai pusat pentauliahan yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan nanas dan pemprosesan makanan di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita adalah syarikat pertama yang menyediakan program berkaitan pengendalian tanaman nanas di Malaysia. Kita dah latih lebih 70 orang hingga lulus SKM Tahap 3,” katanya.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay