KUALA KANGSAR: Projek penternakan ikan tilapia secara komuniti di Kampung Jenalik Hilir, Sauk, di sini, berjaya meningkatkan sumber pendapatan penduduk selain membantu kebajikan golongan rentan serta menyokong penganjuran program kemasyarakatan.

Inisiatif yang digerakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jenalik Hilir itu bukan sahaja menternak tilapia merah, malah turut membabitkan tilapia hitam yang bakanya diperoleh dari Tasik Banding, Gerik dan mendapat permintaan tinggi termasuk di pasaran luar negara.

Pengerusi JPKK Jenalik Hilir, Aidol Azli Mat Sarip, berkata projek diusahakan di tujuh kolam dengan keluasan kira-kira 0.4 hektar itu pernah menjana pulangan sehingga RM36,000 bagi satu musim, dengan pengeluaran mencecah dua tan.

Beliau berkata, meskipun kampung itu terletak berhampiran Sungai Perak, penternakan ikan dijalankan menggunakan kolam berikutan faktor bentuk muka bumi yang kurang sesuai untuk kaedah sangkar sungai.

“Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 320 penduduk membabitkan 80 keluarga yang majoritinya terdiri daripada penoreh getah dan nelayan darat.

“Hasil tuaian musim pertama dari Jun hingga Disember 2025 yang mencecah RM36,000 diagihkan semula kepada penduduk dalam bentuk bantuan keperluan asas, pendidikan serta sumbangan kepada keluarga yang ditimpa musibah,” katanya kepada BH.

Permintaan restoran

Katanya, faktor lokasi berdekatan dengan Lenggong turut membantu aspek pemasaran, khususnya kepada pengusaha restoran yang memerlukan bekalan ikan secara konsisten.

“Permintaan sentiasa ada kerana kami mempunyai pelanggan tetap dalam kalangan pengusaha ‘nasi talam’ di Lenggong, yang menjadi destinasi pelancongan terkenal,” katanya.

Aidol berkata, projek itu dilaksanakan oleh 13 ahli JPKK dengan sokongan penduduk kampung menerusi peruntukan RM100,000 di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI), yang dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, pemantauan turut dijalankan pada peringkat daerah oleh Pegawai Lapangan Inisiatif Pendapatan Rakyat melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar.

Selain itu, projek itu turut mendapat bimbingan teknikal daripada Jabatan Perikanan yang membantu dari segi pemantauan serta khidmat nasihat, termasuk menangani cabaran seperti kematian ikan akibat kekurangan oksigen ketika musim kemarau.

Beliau berkata, pihaknya merancang memperluaskan projek itu dengan memohon tambahan bekalan benih ikan serta membuka kawasan kolam baharu.

“Kami bercadang memperluaskan ternakan bagi musim akan datang kerana masih terdapat kira-kira tiga ekar tanah yang sesuai dijadikan kolam.

“Permohonan juga akan dibuat kepada Jabatan Perikanan dan Pejabat Menteri Besar bagi memastikan projek ini dapat dikembangkan,” katanya.

Projek itu dilihat selari dengan usaha membasmi kemiskinan tegar menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030, selain menyokong agenda memperkasa ekonomi komuniti pada peringkat daerah.

Sumber: Berita Harian