TELUK INTAN – Usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak memperkukuh sektor keusahawanan mula berhasil apabila produk tempatan, semakin berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Terbaharu, syarikat pengeluar minuman, pati dan kordial berperisa dari Teluk Intan, Ameen Products Sdn Bhd mencatat pencapaian membanggakan apabila produk mereka, Ameen berjaya menembusi pasaran Mali di benua Afrika.

Pengarah Urusannya, Mohammed Irfan Amanulla berkata, penghantaran sulung melibatkan lebih 1,400 karton atau 16,800 botol kordial pelbagai perisa bernilai RM90,000.

“Produk yang dieksport termasuk perisa mangga, oren, nanas, ros, anggur dan tropikal. Ini merupakan kali pertama produk dari Perak berjaya memasuki pasaran Mali.

“Afrika mempunyai potensi pasaran yang besar. Kami yakin lebih ramai usahawan tempatan boleh menerokanya dengan strategi dan sokongan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen Products ke Mali yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Salbiah Mohamed di Taman Perindustrian Ringan di sini baru-baru ini.

Mohammed Irfan berkata, Ameen sebelum ini turut berjaya menembusi beberapa negara lain seperti Mauritius, Singapura, Brunei, Fiji dan Bahrain.

“Penghantaran ke Fiji dibuat kira-kira dua minggu lalu manakala ke Bahrain tiga minggu lepas. Alhamdulillah, produk kami mendapat sambutan baik dan pengimport di Bahrain turut mempromosikannya menerusi TikTok,” katanya.

Beliau memaklumkan, kejayaan menembusi pasaran Mali merupakan hasil penyertaan syarikat dalam pameran makanan dan minuman antarabangsa Gulfood di Dubai pada Februari lalu.

Mengulas lanjut, beliau menasihati usahawan lain agar membina kekuatan di pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum melebarkan sayap ke luar negara.

“Kukuhkan dahulu pasaran tempatan bagi memastikan kapasiti pengeluaran stabil. Dapatkan juga sijil-sijil penting seperti halal, GMP dan HACCP kerana ia menjadi keperluan untuk pasaran eksport,” ujarnya.

Sementara itu, Salbiah berkata, kejayaan Ameen selari dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan usahawan berdaya saing dan berorientasikan eksport.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 20 usahawan dan jenama produk dari Perak berjaya menembusi pasaran global sepanjang tahun ini.

“Antara ekspo yang bakal disertai usahawan Perak adalah Brunei Consumer Fair 2025, World Expo Osaka 2025 dan Fine Food New Zealand 2025.

“Kita juga sedang mengenal pasti beberapa usahawan berpotensi yang boleh dibimbing melalui kerjasama dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kekangan ruang dan fasiliti industri menjadi antara halangan utama dalam mengembangkan kapasiti pengeluaran.

“Sebahagian usahawan mempunyai kawasan yang terhad. Kerajaan negeri akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk dibangunkan sebagai taman industri baharu, termasuk di Hilir Perak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay