Tapah: Bermula dengan lima jenis produk kecantikan dan penjagaan diri buatan sendiri pada 2022, Koperasi Wanita Orang Asli Semai Tapah Berhad (KWOAST) kini aktif melakukan kajian dan pembangunan (R&D) hingga mampu menghasilkan 14 produk baharu.
Beroperasi di Kampung Batu 10, Jalan Pahang di sini, kesemua formulasi produk kecantikan dan penjagaan diri seperti skrub badan, topeng muka, sabun, toner dan minyak muka dihasilkan berasaskan bahan semula jadi seperti serbuk kopi, serbuk kunyit, madu, gula, bijiran oat dan minyak kelapa.
Lebih membanggakan 14 produk mereka berjaya memperoleh kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), baru-baru ini, sekali gus membuktikan bahawa produk penjagaan diri hasil tangan komuniti luar bandar juga mampu mencapai piawaian nasional.
Penasihat KWOAST, Kristina Bah Uda, 53, berkata, produk baharu itu sudah menjalani ujian makmal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menerima kelulusan KKM pada 14 Mac 2025 lalu, sekaligus menjadikan produk komuniti ini lebih diyakini pengguna.
“Bermula 2022 lalu, kami hanya jual produk buatan sendiri ini secara kecil-kecilan, tapi kami tahu kelulusan KKM penting untuk maju ke peringkat lebih tinggi. Jadi kami fokus pada pensijilan dan ujian makmal.
“Sekarang, pengguna lebih peka kepada menjaga kesihatan kulit berbanding mahukan kesan yang cepat.
“Kita hendak mendidik orang ramai bahawa produk kecantikan dan penjagaan diri organik ini sebenarnya adalah lebih baik dan pilihan yang tepat, malah setanding produk yang terdapat di pasaran yang mempunyai bahan kimia sintetik,” katanya.
Beliau berkata, proses permohonan KKM dibantu konsultan bagi memastikan semua keperluan teknikal dan saintifik dipenuhi memandangkan ia satu proses rumit bagi mereka yang tiada latar belakang farmasi atau kosmetik.
Katanya, KWOAST menerima sokongan kuat daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Perak yang menyalurkan bantuan khas sebanyak RM10,000 menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
“Bantuan itu dimanfaatkan untuk membeli peralatan seperti ketuhar gelombang mikro dan pengisar bagi membolehkan ahli koperasi melaksanakan pembuatan produk dengan lebih cekap.
“Sumbangan ini amat penting kerana ia membolehkan kami menghasilkan produk dengan jumlah lebih konsisten dan berkualiti. Ia bukti kerajaan negeri tidak meminggirkan komuniti wanita Orang Asli.
“Hasilnya, ahli koperasi yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) dapat menjana pendapatan tambahan dan membantu ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya, KWOAST turut mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk membuka reruai di acara besar seperti Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak di Tapah, bulan lalu serta Karnival Usahawan Orang Asli di Johor Bahru, September tahun lalu.
“Sebagai usaha mempromosi produk baharu, koperasi akan menganjurkan Hari Spa Terbuka pada 12 Mei ini di Dewan Kampung Batu 10.
“Acara itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat dan luar untuk mencuba sendiri produk yang kini terbukti selamat dan berkualiti,” katanya.
Mengimbas kembali penubuhannya, Kristina berkata, idea perniagaan KWOAST tercetus hasil penyertaan Program Pemerkasaan Orang Asli kendalian Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), 2022 lalu.
“Program berkenaan berbentuk latihan kemahiran jangka pendek khusus kepada Orang Asli dalam membantu peserta seperti kami mendapat peluang kerjaya atau menceburi bidang keusahawanan selepas tamat latihan,” katanya.
PASAK antara peneraju flagship Santuni Orang Asli dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Harian Metro