Selama: Dari dapur kecil sebuah rumah kampung kini wanita ini mampu menghasilkan pelbagai produk makanan sejuk beku yang mendapat sambutan luar biasa.
Itulah kisah kejayaan usahawan gigih, Zuraina Idris, 50, yang berkat ketekunan dan bantuan padu Jabatan Pertanian Perak kini mengukir nama dalam industri itu.
Berasal dari Kampung Masjid di sini, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkongsi kisahnya yang bermula dari pekerjaan di kilang.
Namun, minat dan potensi dalam industri makanan mula tercetus apabila ibunya, Che Mah Kassim, memulakan perusahaan kecil-kecilan roti canai frozen pada November 1999.
“Ketika itu, saya nampak potensi besar untuk produk frozen ini dikembangkan.
“Jadi, saya mengambil keputusan berani berhenti kerja dan mengambil alih perusahaan ini pada awal 2001, sebelum mendaftarkannya secara rasmi sebagai syarikat Zuraina Enterprise pada Julai 2004,” katanya.
Kini, Zuraina Enterprise bukan sahaja terkenal dengan roti canai frozen malah menawarkan pelbagai pilihan yang menjadi kegemaran ramai seperti karipap inti kari ayam, daging lada hitam dan sardin.
Selain itu, usahawan desa ini turut menawarkan cucur badak, cucur kacang, samosa ayam dan daging, popia sardin dan sayur, masalodeh, capati, donut serta murtabak ayam dan daging.
Zuraina mendedahkan, idea untuk menceburi bidang ini tercetus selepas melihat produk frozen lain di pasaran.
“Saya yakin kuih-muih frozen akan mendapat sambutan yang baik dari semasa ke semasa.
“Walaupun saya tidak pernah menjalani latihan formal, saya banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri,” katanya.
Bercerita lanjut, Zuraina berkata, kejayaannya tidak datang bergolek, sebaliknya turut disokong padu oleh agensi kerajaan.
“Jabatan Pertanian Perak memainkan peranan besar dalam pengembangan perniagaan kami. Pada 2006, kami menerima geran permulaan sekitar RM25,000.
“Selepas itu, kami masih menerima geran tambahan dalam bentuk mesin dan peralatan seperti peti sejuk beku dianggarkan bernilai RM10,000.
“Bantuan ini membolehkan saya menaik taraf bengkel dan memperoleh mesin pemprosesan yang lebih canggih, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran produk,” katanya penuh kesyukuran.
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Selain itu, Zuraina turut berterima kasih kepada Majlis Daerah Selama yang membantu mempromosikan produk Zuraina Enterprise melalui program Selama Tourism Perak.
Katanya, produk makanan sejuk bekunya kini boleh didapati di kedai-kedai runcit dan pasar raya di sekitar Perak (Selama, Kamunting, Taiping, Kuala Kangsar, Ipoh), Kedah (Serdang, Kulim, Kuala Ketil, Sungai Petani) dan Bentong, Pahang.
Menariknya, Zuraina turut memberi peluang pekerjaan dengan menggaji sembilan pekerja wanita yang terdiri daripada golongan bujang, suri rumah dan ibu tunggal bagi membantu ekonomi penduduk setempat.
Sumber: Harian Metro

© 2025. Hak cipta terpelihara.