PENGKALAN HULU: Projek pertanian komuniti yang dilaksanakan di Kampung Selarong, di sini membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat, khsususnya bagi golongan rentan miskin tegar.

Projek pertanian berkenaan meliputi tanaman betik sekaki yang diusahakan pihak Masjid Al Aula Kampung Selarong, tanaman junjung dan penternakan

ikan tilapia diusahakan penduduk kampung secara pertanian komuniti, selain projek tanaman pokok kopi jenama negeri iaitu daripada varieti Liberica.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selarong, Alias Hashim, 59, berkata pertanian komuniti yang dijalankan memberi manfaat kepada kampung itu dengan anggaran kapasiti 1,800 penduduk membabitkan sekitar 360 keluarga, khususnya penyertaan golongan rentan asnaf.

Beliau yang juga Penasihat Masjid Al-Aula berkata, projek tanaman betik sekaki yang mula diusahakan kira-kira dua minggu lalu di kawasan seluas 0.4 hektar dengan penanaman 250 anak pokok adalah inisiatif menjana pendapatan kepada masjid serta membantu golongan memerlukan.

Katanya, projek penternakan ikan tilapia pula membabitkan 5,000 ekor bermula sebulan lalu manakala projek tanaman junjung seperti peria dan timun dilaksanakan di tanah seluas 0.4 hektar.

Kedua-dua projek itu dilaksanakan melalui peruntukan Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI).

Menurutnya, Persatuan Penduduk Kampung Selarong turut ditubuhkan bagi melengkapi peranan JPKK dengan fokus kepada aktiviti komuniti secara langsung termasuk dalam memupuk semangat gotong-royong serta menyelesaikan masalah penduduk.

“Untuk penternakan tilapia dan tanaman junjung, kita beri kepada 10 asnaf penerima bantuan e-Kasih di kampung ini untuk mengusahakannya dengan

sebahagian hasil jualan juga disalurkan kepada JPKK untuk bantu penduduk lain.

“Bagi tanaman betik yang diusahakan pihak masjid pula lebih kepada penjanaan pendapatan kepada masjid seperti untuk sebarang pembangunan atau aktiviti termasuk membantu asnaf.

“Untuk penanaman betik ia berada di bawah Program Pembangunan Industri Tanaman Betik (Komuniti) Jabatan Pertanian Negeri Perak 2025 dan dilakukan

secara gotong-royong termasuk melalui pembabitan Pejabat Baitulmal Pengkalan Hulu dan JPKK,” katanya kepada BH.

Menurutnya, tanaman betik yang diusahakan Jawatankuasa Kariah masjid itu, mendapat bimbingan serta bantuan dari Jabatan Pertanian Negeri Perak

yang meliputi penyediaan infra, sistem pengairan, anak pokok, serta baja dengan anggaran kos RM20,000, serta turut mendapat kerjasama Pejabat Baitulmal Pengkalan Hulu serta pihak JPKK Kampung Selarong.

Kata Alias, selain meningkatkan taraf hidup golongan rentan, kegiatan pertanian yang turut dilakukan individu perseorangan secara aktif di kampung terbabit turut menyumbang kepada sekuriti makanan antaranya bagi tanaman cili fertigasi serta kopi.

“Ketika ini sudah ada empat kelompok orang muda mengusahakan tanaman cili fertigasi di kampung ini, manakala tanaman kopi ketika ini diusahakan oleh 10 pengusaha di kampung ini, dengan kedua-duanya dibantu Jabatan Pertanian.

“Tanaman kopi di Kampung Selarong turut dibimbing serta dibantu Jabatan Pertanian, sekali gus menjadikan kampung ini sebagai antara pengeluar tanaman kopi varieti Liberica terbesar di Perak.

“Bagi penduduk kampung yang berminat, kami akan hubungi Jabatan Pertanian untuk membantu mereka,” katanya.

Hulu Perak yang termasuk di dalamnya daerah kecil Pengkalan Hulu, setakat Oktober 2025 adalah daerah dengan kapasiti penanaman kopi tertinggi di Perak ketika ini, iaitu membabitkan tanaman pada keluasan 14.51 hektar diusahakan 22 petani.

Jabatan Pertanian diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi pelan Perak Sejahtera 2030 ilham Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menerusi pelan sama, Jabatan Pertanian turut diletakkan sebagai agensi peneraju kepada Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).

Sumber: Berita Harian

en_USMalay