Teluk Intan: Dahulu wanita ini pernah bergelar sebagai pensyarah, namun diuji sehingga bergelar asnaf dan kini bangkit sebagai usahawan bakeri.

Rozita Ahmad, 50, dari Kampung Bahagia, di sini, membuat keputusan sukar meninggalkan kerjaya megah demi keluarga tersayang.

Ibu kepada empat anak berusia antara 13 hingga 24 tahun itu memiliki kelulusan Sarjana dalam Pengajian Melayu dan pernah mengajar di sebuah universiti awam di ibu negara sebagai pensyarah kontrak.

Bagaimanapun, katanya, kehidupannya berubah apabila berdepan ujian peribadi termasuk perceraian selain perlu menjaga ibu bapanya yang uzur selepas bapanya terbabit dalam kemalangan.

“Saya anak tunggal. Ketika itu saya fikir, kalau bukan saya, siapa lagi nak jaga mereka, jadi saya nekad tinggalkan kerjaya.

“Selepas pulang ke kampung pada 2013, saya mula berniaga nasi lemak dan katering secara kecil-kecilan dengan modal simpanan yang ada.

“Semua bermula dari kosong, ikut kemampuan sendiri tanpa perancangan yang jelas,” katanya.

Rozita berkata, kehidupan sebagai usahawan kecil bukan mudah apabila hanya memperoleh pendapatan jika ada tempahan, namun hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba dan belajar perkara baharu.

Katanya, titik perubahan dalam perniagaannya terjadi apabila beliau menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 2019.

“Saya diberi latihan membuat biskut raya dan produk sejuk beku, selain menerima geran peralatan bernilai RM5,000 seperti ketuhar, pengadun dan peti sejuk beku.

“Selain itu, ada pemantauan selama enam bulan yang membantu saya meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Katanya, inisiatif itu membuktikan komitmen MAIPk sebagai agensi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti digariskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata, hasil ilmu diperoleh, jualan biskut rayanya meningkat dengan ketara sehingga mampu memenuhi tempahan ribuan bekas kuih raya setiap musim perayaan.

“Dulu saya buat 300 bekas saja, sekarang boleh cecah 5,000 hingga 6,000 bekas setiap musim raya antaranya tart nanas dan aneka kek yang banyak ditempah untuk dijadikan ‘doorgift’ serta hamper perayaan.

“Alhamdulillah, sasaran pendapatan lima angka juga berjaya dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya yang mengusahakan jenama bakeri ‘The Snack Studio’.

Malah, kejayaannya turut membuka peluang apabila beliau kini dilantik sebagai tenaga pengajar bagi program anjuran MAIPk pada 2023 dan 2024 untuk membantu asnaf lain menjana pendapatan.

“Saya rasa ini cara untuk ‘beri semula’ kepada MAIPk. Bila kita sendiri pernah melalui fasa susah, kita lebih faham cabaran peserta lain dan boleh bantu mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Rozita mengakui masih berdepan cabaran apabila perlu mengimbangi perniagaan dengan tanggungjawab menjaga ibunya yang kini menghidap kanser ovari tahap kronik serta bapanya yang uzur.

“Sekarang mak terlantar di rumah dan perlukan penjagaan sepenuh masa, jadi perniagaan bergerak perlahan sedikit kerana saya tidak boleh terlalu fokus seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan kekangan, beliau tetap berusaha mengembangkan perniagaan termasuk mendapatkan pensijilan halal serta berhasrat menembusi pasaran lebih luas seperti stesen minyak seluruh negara.

“Saya sudah lengkapkan bengkel mengikut spesifikasi halal dan dalam proses mendapatkan sijil. Harapnya selepas ini produk boleh pergi lebih jauh.

“Walaupun perniagaan sekarang agak perlahan, saya tetap positif kerana peluang sentiasa ada hasil sokongan pelbagai agensi termasuk MAIPk,” katanya.

Sumber: Harian Metro