IPOH – Kerajaan Perak akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap isu berkaitan penyampaian ceramah dan kuliah agama tanpa tauliah yang sah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya aktiviti keagamaan di masjid dan surau dipantau secara berhemah serta berlandaskan garis panduan yang ditetapkan.
Menurutnya, pemberian tauliah bukan semata-mata formaliti, sebaliknya sebagai langkah kawalan agar tidak sewenang-wenangnya sesiapa sahaja dibenarkan menyampaikan ajaran agama tanpa saringan yang teliti.
“Kita tidak boleh benarkan orang luar datang berceramah tanpa kita tahu latar belakang mereka. Mungkin berbeza mazhab, atau membawa fahaman yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
“Sebab itu tauliah diwajibkan. Ia diberikan hanya selepas melalui proses temu duga dan penilaian oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kitab Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Taaddud Jumaat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Saarani berkata, pelanggaran terhadap peraturan tauliah bukan sahaja mencemari titah Sultan, malah boleh mengundang tindakan terhadap pihak terlibat termasuk ahli jawatankuasa masjid.
“Ini penting kerana berkaitan dengan agama dan akidah. Jadi mereka yang ada tauliah diperakukan oleh jawatankuasa berkenaan bahawa orang itu ada ilmu dan kemahiran untuk menyampaikan ceramah atau kuliah.
“Kerana itu, seharusnya tiada mana-mana masjid ataupun pihak yang menjemput penceramah yang tidak mempunyai tauliah. Jika berlaku sedemikian, ia mencemari titah Tuanku,” katanya.
Sementara itu, Zamri dalam sidang akhbar sama berkata, proses pemutihan pemegang tauliah telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi memastikan hanya individu yang layak dibenarkan terus menyampaikan ceramah di rumah ibadat.
“Daripada lebih 3,000 pemegang tauliah sebelum ini, hanya 1,300 dikenal pasti masih aktif selepas proses penilaian semula. Kita juga melaksanakan tempoh sah tauliah selama lima tahun dan setiap individu perlu mengisytiharkan latar belakang serta penglibatan mereka sebelum diperbaharui.
“Bagi individu luar yang tidak mempunyai tauliah, permohonan perlu melalui Jawatankuasa Pengawasan di peringkat daerah yang diketuai oleh Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah dengan nasihat daripada Pegawai Tadbir Agama (PTA),” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata, inisiatif memperkenalkan tiga buah kitab bacaan asas di masjid dan surau turut dilihat sebagai pendekatan bijak bagi mengatasi kekurangan penceramah bertauliah serta mengisi ruang masa antara Maghrib dan Isyak.
Tiga kitab tersebut ialah Qalbun Salim dan Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas karya Ustaz Muhadir Haji Joll serta Mutiara Minhajul Abidin oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin.
Katanya, kitab yang disusun dalam bahasa yang mudah itu boleh dibacakan oleh imam walaupun tidak mahir berpidato, sekali gus menyampaikan ilmu secara berkesan kepada jemaah.
Tambah beliau, usaha itu juga dapat menghidupkan suasana masjid tanpa memerlukan penganjuran program besar yang menelan kos tinggi.
Sumber: Sinar Harian