LENGGONG, 30 Jun – Kerajaan Negeri Perak berada di landasan kukuh untuk memulihkan sosioekonomi pascapandemik serta merangka pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat menjelang tahun 2030 menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelan yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaan menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.
“Memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan tersebut, 108 daripada 272 projek dan inisiatif yang digariskan telah pun dijayakan, 128 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala 36 lagi masih di peringkat pra pelaksanaan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti 127 lagi projek baharu untuk disenaraikan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 bagi tujuan pemantauan berterusan,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saarani berkata kerajaan negeri turut komited untuk memperkasakan pelan tersebut menerusi penerokaan sumber pendapatan baharu, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan, sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan mampan negeri.
Menurutnya, kekuatan prestasi kewangan negeri serta momentum pertumbuhan ekonomi yang baik turut membolehkan kerajaan negeri menambah pelbagai peruntukan kebajikan, termasuk menaikkan kadar bantuan kepada golongan memerlukan.
“Usaha ini akan terus dipergiat demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh dan inklusif oleh seluruh rakyat Perak,” katanya
Sumber: Berita RTM