Saarani menyerahkan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang dekat Sitiawan kepada seorang penerima, Nurul Indah Ibrahim, 40, pada Isnin.
MANJUNG – Had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian rumah kos rendah di Perak akan dinaikkan dari RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu dibawa Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk diluluskan di peringkat Exco dalam masa terdekat.
Menurutnya, perubahan kelayakan itu dapat meningkatkan bilangan kumpulan layak memohon selain memberi lebih banyak keluarga memiliki rumah mampu milik.
“Jangkaan peratusan kenaikan (permohonan) belum ada kerana masih di peringkat kertas kerja, tetapi kita di Perak ini tiada masalah kerana mempunyai tanah yang luas.
“Jadi kita sedia bermati-matian untuk mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang dekat Sitiawan di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.
Saarani turut mengumumkan inisiatif baharu kerajaan negeri menerusi Skim Sewa Perak Sejahtera yang menawarkan rumah-rumah sewa dengan kadar sewa lebih rendah daripada pasaran.
Katanya, pelaksanaan program tersebut dimulakan dengan 12 unit rumah mampu milik di Taman Perakku Serdang.
“Harga sewa ditawarkan dengan diskaun 20 peratus dari kadar semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang merupakan projek keempat berjaya disiapkan LPHP tahun ini melibatkan 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000.
Ujarnya, pembangunan di kawasan seluas 12 hektar dengan kos berjumlah RM55.3 juta itu berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan sahaja menunjukkan kesungguhan LPHP dan pemaju dalam pelaksanaan projek perumahan.
“LPHP berhasrat menyiapkan empat lagi projek Rumah Perakku membabitkan keseluruhan 956 unit Rumah Perakku dan 286 unit Rumah Perwira,” katanya.
Saarani turut menjelaskan, dalam usaha memastikan harga rumah berada pada tahap yang mampu dimiliki, kerajaan negeri komited untuk terus mengkaji dan memperbaiki Dasar Perumahan Negeri Perak.
“Langkah itu bagi memastikan setiap pemajuan skim perumahan melebihi lapan hektar akan menyediakan rumah pada harga serendah RM90,000 seunit, dengan peratusan tertentu bagi setiap kategori rumah,” katanya.
Sumber : Sinar Harian Online