IPOH – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak menyemai semangat perpaduan dengan menjalankan pelbagai aktiviti secara harmoni.
Pengerusi PAWE UTC Perak, Datuk Tan Lian Hoe berkata, suasana mesra yang terjalin antara ahli di pusat itu membuktikan keharmonian dapat dicapai sekiranya semua pihak saling menghormati dan mengutamakan kebersamaan.
Menurutnya, setiap kali aktiviti diadakan di pusat tersebut, ia pasti meriah dengan kehadiran ahli daripada pelbagai latar belakang berkumpul dengan penuh kemesraan.
“Ahli di sini terdiri daripada Melayu, Cina, India dan Punjabi. Mereka setiap hari bergurau, berpelukan, beriadah dan menjalankan pelbagai aktiviti bersama.
“Keadaan ini secara tidak langsung mengikis isu perkauman dan keagamaan kerana semua saling menghormati serta memberi kebebasan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Clay & Calm Sesi Seramik Santai Warga Emas di PAWE UTC Perak di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.
Lian Hoe berkata, program clay & calm merupakan salah satu aktiviti yang memperlihatkan kemesraan warga emas di bandar raya Ipoh sekali gus membuktikan hubungan antara kaum di negara ini sangat baik.
“Malaysia dianugerahkan kepelbagaian ini untuk diraikan. Tugas kita ialah memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, saling membantu dan mengekalkan kedamaian serta keamanan negara.
“Itulah yang perlu kita pupuk agar generasi akan datang terus hidup bersatu padu,” katanya.
Sementara itu, Jamilah berkata, program dilaksanakan Wanita Perak dengan kerjasama PAWE UTC itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan mental dan sosial warga emas melalui seni seramik bagi memastikan motor halus mereka tetap kekal sihat.
“Jika dilihat pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah agenda pembangunan sosial, kita ada inisiatif yang menyantuni golongan rentan di mana Wanita Perak bersama dengan Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dipimpin Datuk Salbiah Mohamed menjadi pelaksana.
“Kita akan pastikan warga emas terus disantuni dan dijaga dengan sebaiknya. Kita mahu membawa komuniti di luar sana untuk bersama golongan ini agar mereka tidak kesunyian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.