Ipoh: Hilang penglihatan tidak pernah menjadi noktah perjuangan buat Sarbani Irham, 50, yang terus bangkit melawan nasib selepas diuji dengan penyakit glaukoma hingga kedua-dua matanya buta pada 2017.
Dia yang berasal dari Sabah pernah menuntut dalam bidang perhotelan di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam sebelum menyambung pelajaran di Australia dengan biasiswa kerajaan negeri.
Sekembali ke tanah air, dia sempat berkhidmat dalam industri perhotelan.
Namun, hidup bapa kepada tiga anak itu berubah selepas disahkan menghidap glaukoma tahap empat pada 2012.
Sarbani berkata, dia menjalani sembilan kali pembedahan, akhirnya kedua-dua matanya terpaksa dibutakan pada Februari 2017 bagi mengelakkan kanser mata merebak ke organ lain, terutama otak.
“Selepas itu saya alami kemurungan hampir setahun. Hidup dalam kegelapan, saya hanya berdiam diri, tidak buat apa-apa di rumah di Station 18, di sini.
“Pada 2018, saya didekati oleh agensi kerajaan negeri iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menawarkan bantuan geran untuk menjalani program pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) orang kurang upaya (OKU).
“Dari situ saya mula jalani latihan kemahiran bidang urutan, dengan bantuan PASAK yang banyak mencungkil bakat dalam bidang refleksologi yang sebelum ini amat asing dalam hidup saya,” katanya.
Menurutnya, melalui program anjuran PASAK, dia berpeluang menyertai pelbagai acara kerajaan negeri di seluruh Perak, bukan sahaja mempromosikan perkhidmatan urutan tetapi juga memberi kesedaran mengenai penyakit mata.
Sarbani berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, dia membuat keputusan berani menubuhkan syarikat sendiri dikenali Mr Blind sebagai platform khusus untuk golongan OKU penglihatan sepertinya memasarkan bakat mereka.
“Konsep kami mudah. Kami tidak buka kedai tetap kerana lebih suka bergerak. Kami pergi ke pusat pelancongan, lokasi makanan dan tempat viral untuk jimat kos dan dapat liputan lebih luas.
“Alhamdulillah, sekarang kami ada empat lokasi operasi di Perak dengan 11 ahli menggunakan jenama Mr Blind,” katanya.
Sarbani menjelaskan, semua ahli adalah OKU penglihatan, malah mereka juga terdiri daripada bekas graduan universiti, bekas juruteknik, programmer dan kaunselor yang celik sebelum diuji penyakit seperti dialaminya.
“Platform Mr Blind ini bukan sekadar peluang kami menjana pendapatan, tetapi juga menyatukan keluarga. Apabila ada acara, isteri kami turut membantu. Itu yang menguatkan ukhuwah dan semangat kami,” katanya.
Sarbani berkata, dengan sokongan PASAK, dia berjaya melengkapkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang urutan badan, refleksologi dan bekam angin di bawah latihan di syarikat konsultasi IGB di Meru, di sini.
“Walaupun ambil masa lima tahun untuk latihan dan penilaian, saya bersyukur kerana berjaya lengkapkan sijil kemahiran pada 2023 lalu.
“Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula memberi peluang kepada saya untuk memberi kesedaran berkaitan kerjaya OKU.
“Purata pendapatan bersih saya dalam RM2,000 sebulan selepas tolak kos operasi.
“Kami tidak guna tiket OKU untuk membuka reruai di mana-mana acara, sebaliknya kami bayar seperti usahawan biasa kerana mahu kekalkan profesionalisme,” katanya.
Tambahnya, urutan ditawarkan Mr Blind berbeza kerana gabungan teknik urutan saraf, refleksologi dan terapi badan yang mendapat banyak maklum balas positif daripada pelanggan tetap.
“Baru-baru ini di FAMA Fest, RTC Gopeng, lima hari sahaja reruai kami berjaya capai jualan RM14,000, tertinggi antara semua reruai urutan. Itu bukti masyarakat beri sokongan kuat kepada usaha kami,” katanya.
Katanya lagi, Mr Blind kini sudah berkembang ke Kelantan (tiga ahli) dan Selangor (empat ahli), selain merancang membuka pusat urutan tetap di Kampar bagi menampung permintaan pelanggan.
“Kami mahu buktikan walaupun OKU, kami boleh berdikari dan memberi perkhidmatan profesional,” katanya.
Sarbani berterima kasih kepada PASAK yang banyak memberi sokongan dari segi latihan, pensijilan dan peluang perniagaan.
“PASAK sentiasa bersama kami sejak awal, membantu dari aspek latihan kemahiran hinggalah menyediakan geran untuk kami melangkah lebih jauh,” katanya.
PASAK adalah agensi peneraju flagship Koridor TVET Negara di bawah pelan Perak Sejahtera 2030, cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang komited memastikan keterjaminan sosial, ekonomi dan peluang pekerjaan lebih inklusif buat rakyat negeri ini termasuk komuniti OKU.
Sumber: Utusan

© 2025. Hak cipta terpelihara.