LENGGONG – Perak berada pada momentum yang kukuh dalam menjayakan sembilan agenda utama yang digariskan di dalam pelan Perak Sejahtera bagi memacu sosioekonomi negeri itu menjelang tahun 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memasuki tahun ketiga pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, 108 daripada 272 projek dan inisiatif telah pun dijayakan.

Menurutnya, sebanyak 128 sedang dilaksanakan manakala 36 lagi sedang di peringkat pra-pelaksanaan.

“Terdapat 127 lagi projek baharu sudah dikenalpasti untuk dimasukkan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 untuk dipantau pelaksanaannya.

“Hasil kajian mengenai kesedaran rakyat terhadap pelan ini sudah berada pada tahap 89.3 peratus manakala tahap kepuasan bagi pelaksanaan pelan ini pada kadar 91 peratus,’’ katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga pelan Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong di sini pada Isnin.

Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 menggariskan sembilan agenda utama iaitu, Sekuriti Makanan, Ekonomi Digital, Pembuatan Keputusan Berpacukan Data, Koridor TVET Malaysia, Perlombongan Bertanggungjawab, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti serta Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan

Saarani berkata, antara tumpuan penting yang diberikan pada masa ini ialah untuk menjayakan lima nod pertumbuhan negeri yang disasarkan sebagai pemacu ekonomi Perak dalam dekad mendatang.

Jelas beliau, lima nod pertumbuhan itu ialah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Kanthan, Taman Industri Halal Perak (HIP) di Lekir dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.

Pada masa yang sama, katanya, Perak mahu terus menyinar dalam bidang perlombongan bertanggungjawab selain menggariskan misi penting untuk meneroka secara lebih meluas tiga cabang baharu iaitu Ekonomi Biru, Ekonomi Hijau dan Ekonomi Penjagaan.

Beliau berkata, sektor pendidikan juga akan turut diperkasakan terutama dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mempersiapkan anak muda negeri ini menembusi pasaran kerja masa hadapan.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, beberapa indikator ekonomi menunjukkan Perak berjaya bangkit daripada kesuraman akibat pandemik Covid-19.

“Kita (Perak) pernah berada diambang kemelesetan apabila merekodkan defisit mencecah RM70 juta tetapi kita bangkit dengan surplus untuk tiga tahun berturut-turut termasuklah RM64 juta pada tahun 2023 yang tertinggi dalam sejarah.

“Kadar pengangguran yang menurun serta kadar penyertaan tenaga buruh yang meningkat dalam tempoh tiga tahun dan momentum pertumbuhan ekonomi juga semakin baik.

“Ini memberi keyakinan untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030,’’ ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay