Lumut: Hampir gulung tikar akibat pandemik, peniaga makanan di Pulau Pangkor di sini kini lega apabila berjaya menggandakan pendapatan bulanannya sehingga mencecah lima angka.

Saifulhamdan Mohd Nasir, 37, berkata, dia dan isteri, Noorain Rasli, 34, mula berniaga jagung bakar dan minuman di kedai khemah pesisir Pantai Teluk Nipah di sini pada 2016 lalu.

Menurutnya, pada peringkat awal, perniagaan mereka berjalan lancar dengan jumlah jualan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada sambutan pelancong.

Bagaimanapun, semuanya berubah sekelip mata sejak pandemik Covid-19 pada 2020 lalu susulan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan virus terbabit.

“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami cuba meniaga ikan bilis secara pos, namun kurang mendapat sambutan.

“Selepas PKP, perniagaan saya merosot kerana kurang pelanggan sehingga telah menjadi kebiasaan barang jualan rosak dan terpaksa dibuang sehingga jumlah kerugian mencecah RM2,000 setiap bulan.

“Saya mengalami masalah kekangan modal dan kewangan yang sangat teruk ketika itu,” katanya.

Bapa dua cahaya mata itu berkata, kesusahan dihadapinya mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Alhamdulillah, rezeki kami tak putus. Pada 2020, kami mendapat pinjaman permulaan RM5,000 dari Tekun Nasional untuk modal membeli barang mentah.

“Kemudian, kami terbaca informasi tentang Geran Usahawan Perak oleh STeP yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp penjaja, lalu cuba mohon bantuan,” katanya.

Dia berkata, STeP menaja pelbagai perkakasan penting seperti peti ais, warung burger, pengisar untuk penghasilan ice blend dan coconut shake serta dapur memasak bernilai keseluruhan lebih RM7,000.

“Dengan peralatan baharu ini, kami dapat mempelbagaikan produk dan meningkatkan kualiti perniagaan.

“Sebelum PKP, jumlah jualan kami sekitar RM2,000 ke RM5,000, tapi sejak dapat bantuan dan terus berusaha gigih, kini mampu meraih antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Berkongsi perancangannya, Saifulhamdan memaklumkan, dia dan isteri bersedia untuk membuka kios pertama mereka di Pantai Pasir Bogak di sini, minggu hadapan.

Mereka turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke Melaka dan Shah Alam pada tahun hadapan.

“Terima kasih kepada STeP kerana membantu peniaga kecil seperti kami. Kami memang sangat susah ketika itu, tetapi syukur ada jalan untuk kami,” katanya sebak.

Sokongan SteP terhadap peniaga kecil membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju flagship Membasmi Miskin Tegar 2025, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.Geran Usahawan Perak bertujuan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negeri ini meningkatkan kapasiti, keupayaan pengeluaran, produktiviti, sistem, pemasaran dan jenama usahawan ke tahap yang lebih berkualiti.

Untuk rekod, Kerajaan Perak memperuntukkan RM1.5 juta menerusi inisiatif bantuan Geran Usahawan Perak atau dikenali GeRAK bagi tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 750 penerima.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay