IPOH – Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) memperkukuh usaha menyediakan rumah mampu milik di negeri Perak melalui kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan berkata, langkah itu sejajar dengan peranan LPHP sebagai agensi peneraju Flagship Perumahan Sejahtera di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang berlandaskan teras 3A iaitu Ketersediaan (Availability), Kemampuan (Affordability) dan Kebolehcapaian (Accessibility).
Menurutnya, berdasarkan unjuran pertambahan penduduk menjelang tahun 2030 serta peratus pemilikan rumah semasa, Perak memerlukan 57,407 unit rumah menjelang tahun 2030 dan akan dipantau menerusi Dashboard Perumahan Negeri Perak yang dijangka dilancarkan September ini.
“Melalui perjanjian persefahaman antara LPHP dan CIDB yang ditandatangani pada 23 Januari lalu, ia antara lain bertujuan untuk menjalin kerjasama di dalam pelaksanaan pembinaan rumah kediaman yang mematuhi Dasar Perumahan Negeri Perak.
“Di samping itu, usahasama ini juga bertujuan untuk menyeragamkan binaan Rumah Kos Rendah (Rumah Perakku 1) dan Rumah Kos Sederhana (Rumah Perakku II) melalui penyediaan pelan bangunan standard sehingga memperoleh prakelulusan oleh pihak PBT (pihak berkuasa tempatan) menerusi anak syarikat CIDB, CIDB IBS Sdn Bhd,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Mohamed Akmal berkata, pemaju boleh memilih untuk menggunakan pelan bangunan standard yang disediakan atau menyediakan pelan bangunan sendiri mengikut keperluan dan piawaian PBT.
Menurutnya, dengan adanya pelan bangunan standard berstatus prakelulusan, tempoh mendapatkan kelulusan pelan bangunan dapat dipendekkan sekali gus memastikan pembinaan lebih cekap, kos efektif dan berkualiti.
Beliau berkata, kerjasama itu turut mengaplikasikan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti.
Mohamed Akmal berkata, melalui kerjasama tersebut, pihak LPHP turut meminta CIDB membuat kiraan kos pembinaan rumah bersaiz 900 kaki persegi menggunakan kaedah IBS bagi mendapatkan harga sebenar yang lebih rendah berbanding anggaran pemaju.
“Selama ini kita hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh pemaju mengenai kos pembinaan rumah kos rendah dan sederhana. Apabila ada angka daripada CIDB, kita boleh jadikan ia sebagai semakan silang untuk sebarang perbincangan dengan pemaju.
“Selain itu, penggunaan prakelulusan pelan bangunan membolehkan kelulusan PBT diperoleh lebih cepat kerana reka bentuk tersebut sudah ada dalam pangkalan data mereka,” katanya.
Jelasnya, usaha itu selaras dengan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat melalui pendekatan lebih sistematik, bersepadu dan mesra rakyat.
Sumber: Sinar Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.