KUALA KANGSAR: Panorama indah Sungai Perak dari atas Jambatan Victoria di Enggor, pekan Karai, bukan lagi asing bagi penduduk tempatan, mahupun pelancong yang singgah untuk merakam gambar kenangan di jambatan kereta api tertua negara itu.
Pekan Karai dan kampung sekitarnya kini bertambah berseri apabila trek berbasikal Living River Bike Trail sepanjang 25 kilometer (km) dibangunkan, dengan fasa awal menghubungkan Jambatan Victoria ke Kampung Raja Intan Suraya di Sungai Siput.
Selepas fasa pertama pakej 1 itu siap pada Disember 2020, projek itu kini diteruskan dengan pakej 2 yang membabitkan laluan dari Kampung Seberang Karai hingga ke kawasan jeti Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Pakej baharu itu membabitkan laluan kedua-dua persisiran Sungai Perak sepanjang 17km dan 18km, termasuk melintasi beberapa lokasi ikonik di Kuala Kangsar seperti jeti Dataran Lembah Kuala Kangsar, Istana Iskandariah dan kawasan Lembah Sayong. Projek dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Dr Sakduddin Zamli, berkata pembinaan laluan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Kangsar itu adalah inisiatif berimpak tinggi dari aspek pelancongan dan rekreasi mesra alam.
Katanya, pembinaan lanjutan trek baharu itu juga mampu memperkenalkan Kuala Kangsar sebagai destinasi yang kaya sejarah dan warisan serta riadah, sekali gus membuka peluang baharu menjana ekonomi melalui perniagaan kecil, rumah inap dan perkhidmatan pelancongan.
“Pada masa sama, ia menggalakkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan semangat kebersamaan masyarakat.
“Living Bike Trail pemangkin kepada pembangunan pelancongan hijau dan seiring visi MPKK dan Perak Sejahtera 2030 untuk kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi setempat,” katanya ketika dihubungi BH.
Pakej 1 Living River Bike Trail dibangunkan JPS melalui peruntukan Kerajaan Pusat, manakala pakej 2 trek dibangunkan JPS menggunakan peruntukan kerajaan negeri.
Inisiatif itu serampang dua mata kerajaan untuk mengindahkan kawasan sekitar sungai bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan memelihara alam sekitar.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Rekreasi Kampung Seberang Karai, Muhammad Kamarul Aizan Kamarulzaman, 38, berkata, lanjutan pembinaan trek berbasikal pakej 2 itu diyakini merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar kampung itu yang berdekatan dengan pekan Karai.
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung itu berkata, sejak adanya trek berbasikal pakej 1 ke Kampung Raja Intan Suraya, kampungnya mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran pelancong yang semakin ramai ke Karai.
“Pembinaan pakej 2 trek berbasikal itu yang turut melintasi Kampung Sebarang Karai akan menyambung laluan trek sedia ada yang terdapat di persisiran sebelah kanan Sungai Perak apabila ia turut dihubungkan melalui laluan pejalan kaki di atas Jambatan Victoria ke laluan di persisiran sebelah kiri Sungai Perakl,” katanya.
Pelancongan Pesisir Sungai diletakkan sebagai antara agenda yang ingin dicapai melalui flagship atau andalan kepada Ekonomi Pengalaman di dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Agenda melalui pelan itu meletakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sepanjang Sungai Perak sebagai agensi yang meneraju, selain turut sama meletakkan agenda Perak Sihat Sejahtera melalui program sukan dan kecergasan fizikal.
Sumber: Berita Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.