IPOH – Lebih 80 peratus penerima Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) mencatat peningkatan pendapatan selepas menerima bantuan, kata Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Beliau berkata, kadar itu melibatkan 505 usahawan daripada 713 penerima geran tahun 2024 terdiri daripada usahawan informal dan mikro termasuk penjaja serta peniaga kecil dengan geran maksimum RM2,000.

Menurutnya, peningkatan tersebut dicatatkan dalam pelbagai kadar antaranya: 18 orang meningkat lebih 100 peratus; 41 orang antara 51 hingga 99 peratus; 146 orang antara 21 hingga 50 peratus dan 300 orang meningkat antara 1 hingga 20 peratus.

“Geran ini memfokuskan bantuan peralatan, sistem pemasaran dan peningkatan keupayaan perniagaan dengan sasaran utama usahawan yang mempunyai nilai jualan tahunan tidak melebihi RM200,000.

“Bantuan ini bukan sahaja mengurangkan kos operasi, malah meningkatkan produktiviti serta membolehkan mereka mengurangkan kos upah kerana kebanyakan penerima kurang berkemampuan mengambil pekerja ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nadziruddin Mohamed Bandi (PN-Changkat Jong) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Salbiah turut berkongsi beberapa kisah kejayaan penerima geran antaranya Hamsiah Mahmoud dari Ipoh yang mengusahakan produk makanan dengan pendapatannya meningkat daripada RM5,000 kepada RM15,000 sebulan selepas enam bulan menerima bantuan.

Pengusaha kambing perap, Zuriati Mohd Zabidi dari Taiping pula mencatat peningkatan daripada RM125,000 kepada hampir RM170,000 dalam tempoh enam bulan.

Begitu juga pengusaha nasi lemak, Norfarahin Mohd Isa dari Ipoh yang mencatat peningkatan pendapatan dua kali ganda daripada RM14,000 kepada RM28,000 selepas mendapat bantuan peralatan seperti peti sejuk, pemanas nasi dan periuk memasak.

Menurut beliau, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang ditubuhkan sejak 2020 terus memantau dan menyelaras program keusahawanan, termasuk lebih 50 program pembangunan usahawan pada tahun ini.

Katanya, program tersebut merangkumi bimbingan, latihan digital dan kecerdasan buatan (AI), celik kewangan, pemasaran serta sokongan pendaftaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk penjaja dan peniaga kecil, melibatkan lebih 10,000 usahawan.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay