IPOH: Golongan warga emas seharusnya tidak terkecuali diberi pendedahan mengikuti kursus program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seiring persiapan negara ke arah fasa negara menua menjelang 2030.
Inisiatif itu dijalankan D’ Alam Academy di Jalan Ampang Baru, di sini, antara pelaksana kepada Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menawarkan kursus TVET jangka pendek khusus bagi individu berusia 60 tahun dan ke atas.
Antara kursus ditawarkan khas bagi golongan itu adalah terapi urutan dan bekam angin, kraftangan jahitan, penghasilan doh berasaskan yis, urutan refleksologi kaki dan tangan, serta hiasan serta pembungkusan kek.
Pengasas pusat perunding latihan itu, Rosdziah Mohd Zainudin, 51, berkata usia tidak seharusnya penghalang untuk terus belajar dan berkembang, apatah lagi bagi golongan warga emas termasuk ibu tunggal yang terpaksa berdikari bagi meneruskan kehidupan.
Katanya, justeru memastikan kelangsungan kehidupan warga emas kekal produktif usaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran digiatkan, bertepatan dengan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), termasuk seperti digariskan menerusi pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030.
Rosdziah berkata, dia mula menceburi bidang kecantikan pada 1999 dengan membuka sebuah spa, namun diuji dengan keretakan rumah tangga pada 2006 apabila ‘hilang sebelah sayap’.
Bergelar ibu tunggal, berbekalkan pengalaman mengendalikan spa kecantikan, dia bangkit mengubah nasib keluarga.
Katanya, dia mula menjadi tenaga pengajar separuh masa di beberapa institusi pada 2015, sebelum mengambil keputusan membuka sebuah pusat kecergasan fizikal pada 2018.
Namun, pusat kecergasan itu tidak kekal lama susulan pandemik COVID-19. Justeru, dia menukar entiti itu pada 2021 menjadi pusat perunding latihan D’ Alam Academy.
“Sejak itu hingga sekarang saya masih tenaga pengajar, menyambung apa yang dilakukan sejak 2015 iaitu sebagai tenaga pengajar separuh masa di kolej komuniti dan pusat GiatMARA,” katanya kepada BH.
Katanya, kursus TVET warga emas ditawarkan D’ Alam Academy meliputi golongan warga emas dalam kategori rentan seperti ibu tunggal, pelajar dari pelbagai latar belakang keluarga dan kerjaya sebelumnya.
“Ada pelajar kami daripada kategori seperti hidup sebatang kara, dengan kebanyakannya ibu tunggal dan ada tinggal bersendirian tetapi mampu berdikari. Selain itu ada yang bekerjaya sebelum ini.
“Peserta latihan dibekalkan elaun RM200 oleh PASAK bagi lima hari tempoh kursus dijalankan.
“Sebagai penyedia latihan kita juga bekalkan peserta kursus dengan peralatan berkaitan bagi membolehkan ilmu ditimba tidak hanya ‘mati’ di situ, sebaliknya dipraktikkan,” katanya.
PASAK diletakkan sebagai agensi peneraju menerusi beberapa agenda serta flagship menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, termasuk menerusi flagship Koridor TVET Malaysia serta Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Pelan sama juga meletakkan agenda bandar mesra usia (Aged-Friendly City), selain agenda dalam usaha memperkasa dan membangunkan keupayaan wanita serta warga tua sebagai sumber insan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat di Perak, menerusi flagship Program Menyantuni Golongan Rentan.
Sumber: Berita Harian