Ipoh: Di sebalik kegawatan ekonomi melanda akibat pandemik Covid-19, seorang bekas pengurus jualan di Kuala Lumpur, Haizul Fakharuddin Mohamad Redzuan bangkit mengubah nasib dengan terjun ke industri penjagaan warga emas.

Kini, berbekalkan ‘sentuhan insan’ dan kemahiran baharu, Haizul, 44, tidak sahaja menjana pendapatan hingga RM4,500 sebulan, malah menjadi ‘penawar’ kesunyian warga emas di Ipoh dan sekitarnya.

Bapa empat anak yang kini menetap di Klebang di sini, berkata keputusan berani itu diambil selepas perniagaan jualannya terpaksa gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Sebelum PKP, saya ada syarikat sendiri di Kuala Lumpur. Saya latih anak muda dalam bidang jualan.”Apabila pandemik Covid-19 melanda, perniagaan bersemuka dihentikan. Syarikat saya tutup operasi dan saya pulang ke Ipoh,” katanya.

Haizul berkata, dia yang buntu mula belajar kaedah mengurut daripada isterinya, Norfaizatul Baizura Ezlin Haszukeri, 38, yang mahir dan aktif melakukan perkhidmatan urutan buat ibu berpantang.

Lelaki itu kemudiannya berguru dengan ramai lagi pakar termasuk di Thailand untuk mendalami ilmu terapi.

Titik perubahan sebenar berlaku pada Februari 2024 apabila Haizul menyertai kursus penjagaan warga emas lima hari di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) secara percuma melalui inisiatif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

“Sepanjang kursus, peserta bukan sahaja diajar rutin harian, kaedah pertolongan cemas, pemakanan berkhasiat, tetapi kemahiran berkomunikasi dengan warga emas terutama yang sensitif atau menghidap dementia.

“Kursus ini membuka mata saya terhadap industri penjagaan warga emas.

“Ia ada potensi besar untuk menjana pendapatan ketika berkhidmat kepada mereka,” katanya.

Haizul yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam operasi pusat jagaan warga emas dan urut terapi kini mengemudi ‘Jarijemaricare’, perniagaan penjagaan warga emas meliputi khidmat di hospital, rumah pesakit dan pusat jagaan di Ipoh, Kuala Kangsar, Batu Gajah dan Sungai Siput.

Dia turut dibantu isteri yang mengurusspa ‘Jarijemari Bonda Alyn’ di Anjung Tawas Damai, Tasek di sini.

Bercerita lanjut, Haizul berkata, penjagaan warga emas terbahagi kepada tiga kategori pesakit iaitu independent (boleh bergerak sendiri), separa independent (boleh bergerak dengan bantuan) dan dependent atau terlantar (tidak boleh bergerak sama sekali).

“Untuk pesakit terlantar, kami mandikan atas katil (sponging), gosok gigi, syampu rambut, tukar baju dan lampin, pantau ubat, beri makan dan kemaskan diri warga emas.

“Bagi pesakit independent atau separa independent, kami bantu mereka berjalan, bantu senaman ringan di luar dan lakukan fisio ringan.

“Kita juga ada sediakan perkhidmatan medical escort iaitu membantu menghantar pesakit ke hospital untuk temu janji dan urusan hospital sebelum hantar mereka pulang,” katanya.

Dengan dedikasi tinggi, Haizul berkata, perkhidmatan itu membantunya meraih pendapatan kasar sehingga RM4,500 sebulan.

Beliau turut mengupah ahli terapi sambilan lain apabila jadualnya padat, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam industri yang semakin diperlukan.

Kerajaan Perak sebelum ini memperkenalkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penjagaan Warga Emas Fasa 2 menerusi inisiatif Santunan Kasih Perak.

PASAK adalah agensi peneraju flagship Koridor TVET Negara di bawah pelan Perak Sejahtera 2030, cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang komited memastikan keterjaminan sosial, ekonomi dan peluang pekerjaan lebih inklusif buat rakyat negeri ini.

Sumber: Harian Metro

en_USMalay