KUALA KANGSAR: Penyertaan dalam latihan dan bimbingan tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membuka lembaran baharu buat seorang suri rumah apabila kini giat menjalankan khidmat gunting rambut secara bergerak di luar bandar, sekali gus membantu suami menyara kehidupan keluarga.

Nurul Amira Abdul Rahman, 31, dari Kampung Buaiya, Menora, berkata kehidupannya berubah selepas menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2025 anjuran MAIPk yang menawarkan kursus gunting rambut secara bergerak.

Ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu bersyukur kerana kini mampu menjana pendapatan sendiri bagi meringankan beban suami, 36, yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Dulu saya tidak mempunyai sebarang pendapatan. Selepas mengikuti kursus latihan dan amali gunting rambut selama enam bulan, saya kini mampu menambah pendapatan keluarga,” katanya kepada BH.

Menurutnya, kemahiran yang diperoleh membolehkannya menawarkan perkhidmatan gunting rambut bergerak khusus kepada wanita Muslimah dan kanak-kanak menggunakan motosikal yang dibekalkan melalui program berkenaan.

Perkhidmatan itu juga memudahkannya menjelajah kawasan kampung sekitar Kuala Kangsar, selain memenuhi permintaan penduduk setempat, terutama warga emas yang berdepan kekangan untuk ke pekan.

“Khidmat gunting rambut bergerak sentiasa mendapat permintaan, khususnya dalam kalangan penduduk kampung. Tambahan pula, kebanyakan salun menetapkan janji temu yang menyukarkan sesetengah pelanggan,” katanya.

Selain motosikal, beliau turut menerima kit perniagaan lengkap bagi memudahkannya menjalankan operasi ketika mempunyai masa lapang.

Nurul Amira berkata, hasil pendapatan diperoleh membolehkannya membantu keluarga, termasuk menukar kenderaan kepada yang lebih selesa.

Katanya, pendapatan suaminya sekitar RM1,700 sebulan sebelum ini hanya cukup menampung perbelanjaan harian serta keperluan tiga anak yang masih bersekolah.

“Kereta lama kami sudah uzur manakala motosikal sedia ada tidak sesuai untuk perjalanan jauh. Alhamdulillah, bantuan MAIPk memberi peluang kepada saya menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, MAIPk memperuntukkan RM5.5 juta bagi 2025 untuk melaksanakan program keusahawanan asnaf, dengan pendekatan baharu diperkenalkan melalui penyediaan peralatan perkhidmatan bergerak.

Sebanyak 50 motosikal lengkap dengan peralatan diserahkan kepada peserta PROPER A 2025, masing-masing membabitkan 25 peserta kursus baik pulih telefon pintar dan 25 peserta kursus gunting rambut.

MAIPk juga antara agensi pelaksana bagi agenda ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ di bawah inisiatif Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 yang diperkenalkan Menteri Besar, Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian