IPOH – Kejayaan anak muda Perak dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menyerlah apabila anak jati Kampung Teluk Batu, Lenggong, Khairul Idham Bahari, 21, dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025 baru-baru ini.
Khairul Idham yang mewakili Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut muncul juara dalam kategori Cabinet Making selepas mengetepikan pencabar dari negara-negara serantau.
Menurutnya, minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kabinet seni kayu halus mendorongnya untuk terus berusaha hingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya berbangga dapat membawa nama Malaysia ke peringkat ini. Saya mula belajar di IKM Lumut selama tiga tahun dan selepas tamat pengajian, saya terus berlatih untuk menghadapi pertandingan ini.
“Saya akan menyertai pertandingan di peringkat Asia di Taiwan pada November depan. Cita-cita saya ialah menjadi tenaga pengajar dalam bidang ini selain mahu meningkatkan kemahiran melalui pengalaman di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini, pada Ahad.
Pertandingan WorldSkills ASEAN menghimpunkan peserta terbaik rantau Asia Tenggara untuk menguji kepakaran teknikal dalam bidang teknologi kejuruteraan, reka bentuk, pembinaan, automasi dan kerja tangan halus.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian Khairul Idham.
Sementara itu Saarani berkata, kejayaan anak muda tersebut menjadi bukti bahawa bidang TVET semakin mendapat tempat dan mampu melahirkan tenaga mahir berdaya saing di pentas dunia.
“Ini merupakan salah satu contoh kejayaan yang mampu menjadi inspirasi kepada anak muda Perak yang lain untuk terus berani menceburi bidang TVET yang kini menjadi pemacu utama pembangunan negara.
“Ia juga menggambarkan bahawa silibus, pensyarah dan jurulatih yang ada dalam Malaysia termasuk kolej-kolej TVET yang kita sediakan mempunyai reputasi baik,” katanya.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih dalam bidang kemahiran itu membuktikan Perak berada di landasan yang tepat sebagai Koridor TVET Negara seperti mana dirancang menerusi pelan Perak Sejahtera 2030.
Dalam pada itu, Perak juga sedang mempersiapkan tenaga mahir yang amat diperlukan bagi memenuhi permintaan industri terutama di kawasan pembangunan baharu seperti di Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).
Sumber: Sinar Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.