IPOH Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang pertanian sejak di universiti, graduan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari Universiti Utara Malaysia (UUM) kini berjaya mengusahakan dusun durian seluas 35 ekar di sekitar Selama.
Zakaria Ibrahim, 35, anak jati Selama membuktikan, bidang pertanian mampu menjadi kerjaya yang lumayan jika diusahakan dengan ilmu dan kesungguhan, sekali gus meneruskan legasi yang dimulakan oleh bapanya.
“Asalnya dusun ini dimulakan oleh ayah saya dengan anggaran lima ekar.
“Selepas tamat pengajian, saya terus fokus untuk mengusahakan dusun ini kerana minat dan sokongan daripada keluarga,” katanya kepada BH.
Zakaria berkata, beliau melihat potensi besar dalam penanaman durian premium seperti Musang King, Duri Hitam dan Udang Merah, selain durian kampung premium yang mempunyai permintaan tinggi.
“Alhamdulillah, pada musim kali ini boleh dikatakan 300 hingga 500 kilogram durian boleh terjual setiap hari.
“Oleh sebab Selama terkenal dengan pelbagai air terjun atau lata, kita juga bekerjasama dengan pengusaha agropelancongan lain bagi membolehkan pelancong makan durian sambil menikmati keindahan alam di sini,” katanya.
Dengan bantuan modal daripada adik-beradiknya yang lain, beliau secara berperingkat-peringkat memperluaskan kawasan tanaman sehingga kini mencecah 35 ekar di beberapa lokasi sekitar Selama.
Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau sekeluarga turut disokong oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Jabatan Pertanian banyak membantu dari segi ilmu. Mereka hantar saya dan abang berkursus selama dua minggu untuk belajar teknik cantuman, pemilihan benih dan pengurusan ladang.
“Mereka juga ada beri bantuan pemasangan sistem paip untuk siraman dan bantuan baja.
“Sementara, FAMA pula membantu memasarkan hasil tanaman pada peringkat awal,” katanya.
Hasilkan produk hiliran
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kini, selain menjual buah segar di gerainya di Kampung Sungai Siputeh dan melalui media sosial, Zakaria turut menghasilkan produk hiliran seperti tempoyak.
Lebih membanggakan, durian kampung premium dari dusunnya dinobatkan sebagai johan dalam Program Pesta Durian Peringkat Perak pada Ahad lalu, membuktikan kualiti hasil tanamannya.
“Saya percaya faktor penjagaan dan kesesuaian tanah di bumi Selama yang berbukit dan berhampiran air terjun menjadi penyumbang kepada kualiti durian kami,” katanya.
Sumber: Berita Harian

© 2025. Hak cipta terpelihara.