IPOH – Pertambahan jumlah warga emas disebabkan sistem kesihatan yang baik mendorong kepada permintaan tinggi terhadap keperluan penjagaan golongan tersebut.
Perkara itu diakui sendiri oleh mereka yang terlibat secara langsung menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas di negeri Perak.
Menurut Pengarah Medifa Care Group Sdn Bhd (Medifa Care), Shahrul Faisal Zam, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas di Perak semakin tinggi, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu.
“Anak-anak sekarang ramai bekerja, ada yang jadi doktor, berniaga dan sebagainya. Mereka memerlukan tempat khusus yang ada jururawat, pemantauan kesihatan dan jagaan berterusan untuk ibu bapa mereka.
“Kemudahan ini bukanlah tempat tinggal warga emas seperti rumah kebajikan tetapi sebagai pusat penjagaan profesional untuk golongan tersebut,” katanya.
Jelasnya, pusat jagaan warga emas bukan sekadar tempat tinggal, sebaliknya memerlukan sistem penjagaan menyeluruh termasuk aspek fi zikal, mental dan kerohanian.
“Di pusat jagaan kami, kami adakan kelas fardu ain mingguan, bantuan solat, makanan halal dan penjagaan berterusan untuk warga emas beragama Islam.
“Perkhidmatan yang kami sediakan bukan sekadar fizikal, tetapi juga menumpukan kepada aspek rohani,” ujarnya yang kini memiliki tiga pusat penjagaan warga emas di negeri ini.
Beliau berkata, bidang itu membuka banyak peluang pekerjaan baharu terutamanya kepada golongan muda yang berminat dalam bidang penjagaan.
“Ada antara staf kami baru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kami ajar mereka dari asas seperti cara menukar lampin, memberi makan ikut tiub dan menjaga pesakit atas katil.
“Paling penting, kami sangat perlukan tenaga muda, terutama lelaki untuk membantu warga emas mandi, bergerak dan sebagainya,” jelasnya.
Oleh itu, kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Penjagaan Warga Emas Fasa 2 menerusi inisiatif Santunan Kasih Perak.
Program Santunan Kasih Perak merupakan usaha bersama Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri dengan kerjasama Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW), Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta diselaraskan oleh Sunshine Qualicare Sdn Bhd.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Salbiah Mohamed berkata, program itu selari dengan unjuran ketujuh Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasakan ekonomi wanita dan memberi perhatian kepada keperluan warga emas.
“Sasaran kita bukan sekadar jangka pendek, tapi mahu jadikan ia sebagai model contoh untuk penjagaan warga emas yang boleh diguna pakai di seluruh negeri.
“Program ini juga akan membantu kerajaan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk masa depan,” katanya.
Bagi seorang peserta program kemahiran penjagaan warga emas, T Manimala, 49, dari Chemor mengakui ilmu yang diperolehnya bukan sahaja membantunya menjaga ibu sendiri dengan lebih baik, malah turut membuka peluang menjana pendapatan dalam bidang penjagaan profesional.
Sumber: Sinar Harian